MERBOK 28 Jan. - Pelajar semester empat Sijil Pastri Kolej Komuniti Baling muncul sebagai pemenang Pertandingan Kuih Kapit 2019 di Pusat Beli-belah Aneka Jerai Plaza, Gurun dekat sini, semalam.

Maizatil Akhmal Abdul Razak, 22, menewaskan 22 orang peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan itu bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Pelajar itu menerima hadiah berupa wang tunai RM100 dan hamper.

Tempat kedua dimenangi Farahdianah Abd. Pattah, 21, dari Kampung Sera, Baling yang memperoleh wang tunai RM80 dan hamper manakala Pembantu Penerangan di Jabatan Penerangan Daerah Yan, Zurina Saad, 43, pula di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM50 dan hamper.

Pengarah pertandingan itu, Zainab Md. Isa berkata, acara tersebut diadakan bertujuan untuk memupuk perpaduan dan toleransi dalam kalangan masyarakat di negara ini melalui program kemasyarakatan selain menjalin kerjasama antara kolej berkenaan dan pihak swasta.

"Kita gembira kerana ramai dalam kalangan orang Melayu pada masa ini, terutama generasi muda mampu menghasilkan kuih kapit dengan baik.

"Secara tidak langsung, ia dapat mengekalkan warisan penghasilan kuih kapit kepada orang muda," katanya di sini.

Menurut Zainab, acara diadakan juga adalah serampang dua mata iaitu untuk menarik lebih ramai generasi muda tampil belajar di Kolej Komuniti Baling yang turut menawarkan kursus Sijil Pastri dan Sijil Fesyen serta Pakaian.

Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Pengarah Kolej Komuniti Baling, Sobah Abd. Hamid. 

 


Sumber :  Utusan Melayu (M) Bhd 

 

 

 

 

V

Ke Atas