KHAZANAH alam Malaysia adalah kurniaan Tuhan yang tidak ternilai. Kehilangan khazanah ini bukan sahaja bermakna kehancuran ekosistem, malah kehilangan sumber pendapatan daripada sektor pelancongan.

Bertepatan tema Menghayati dan Menghargai Khazanah Warisan, seramai 40 peserta Eksplorasi Kembara 2019 menjalani pelbagai aktiviti yang dapat mempertingkat kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Eksplorasi sehari anjuran Kelab Kembara, Politeknik Ungku Omar (PUO) dengan kerjasama Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) itu bertempat di Bukit Kledang, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Setiausaha Persatuan MHM, Dr. Razul Ikmal Ramli berkata, program itu bertujuan mengajak masyarakat menyelami isu alam sekitar dan kebersihan dari mata hati demi menjamin kesejahteraan serta kelangsungan hidup manusia sejagat.

“Program ini diharap dapat membudayakan semangat setiakawan, jati diri serta komitmen yang tinggi dalam kalangan peserta.

“Paling penting, ia juga mendidik mereka untuk menjadi warganegara yang mampu melihat melalui mata hati dan bertindak secara matang dalam menangani isu kelestarian alam sekitar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Sementara itu, Pensyarah Kokurikulum Kelab Kembara PUO, Khairol Hisam Hamran pula berkata, eksplorasi itu turut menyemai sikap, etika, semangat profesionalisme dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan peserta.

“Program ini juga adalah suatu bentuk tanggungjawab sosial bertujuan menambah kesedaran mengenai aktiviti fizikal dan mental, selain membuka peluang untuk pelajar meningkatkan kemahiran insaniah serta kebolehpasaran diri mereka,” katanya.

Seorang peserta, Nur Izati Mohd. Ibrahim, 20, yang mengikuti Diploma Pengajian Perniagaan mengakui, aktiviti dijalankan menyuntik banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental.

“Di samping dapat mendekatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan, ia juga turut membantu mengeratkan hubungan silaturahim dan memberi banyak ilmu pengetahuan seperti kaedah yang betul mendaki bukit. Kami dapat membersihkan laluan dengan memungut sampah yang tidak terurai,” ujarnya.

 

Sumber : Kosmo

Ke Atas