KUALA LUMPUR: Politeknik Malaysia mencatat pencapaian membanggakan, apabila pasukan pelajarnya muncul penerima pingat emas paling banyak sempena 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018 yang berlangsung di Taichung, Taiwan, hari ini.

Unit Komunikasi Korporat Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dalam suatu   kenyataan media di sini hari ini, menjelaskan, pertandingan disertai 1,200 pelajar dari 10 negara   itu menyaksikan Politeknik Malaysia memenangi sembilan pingat emas mengenepikan Indonesia(lima), China(lima), Taiwan(empat), Korea(dua) dan masing-masing satu Brazil, Rusia dan Filipina.

Pasukan Politeknik Malaysia juga meraih tiga pingat perak dan dua pingat gangsa pada acara yang berlangsung enam hari di University of Feng Chia itu, membabitkan lima kategori pertandingan, iaitu Androsot, Robosot, Hurocup, Simurosot dan Fira Air.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Prof Datuk Dr Mohd Ismail, berkata pertandingan itu disertai Politeknik Ungku Omar (PUO), Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Politeknik SUltan IDris Shah (PSIS) dan Politeknik Kota Kinabalu (PKK).

"FIRA RoboWorld Cup adalah pertandingan yang menguji pengetahuan dan kemahiran peserta yang terdiri daripada pelajar berpendidikan teknikal, seperti Kejuruteraan Mekanikal, Elektrik, Mekatronik dan Teknologi Maklumat.

“Pelajar ini berganding dengan tenaga pengajar mereka untuk menghasilkan perisian pintar dan pembinaan robot, sebelum ketangkasan dan kecekapan produk terbabit diuji barisan juri,” katanya.

Prof Mohd berkata, sebagai persediaan pasukan Politeknik Malaysia ke pertandingan itu, kemampuan kesemua robot dan sistem kawalannya dipertingkatkan, sejurus tamat Kejohanan 11th FIRA Malaysia Cup 2018.

Katanya, peningkatan itu termasuk menambah baik sistem pengesanan untuk mendapatkan ketepatan optimum, selain kelajuan robot ditambah dengan penggunaan gear ratio hasil rekaan pelajar dan pensyarah.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kurikulum Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Noor Aidi Nadzri, berkata penyertaan pada pertandingan bertaraf antarabangsa itu bukan sahaja mampu menguji pengetahuan pelajar berhubung sistem robotik humanoid dan menonjolkan bakat mereka, tetapi juga menjadi platform mempelajari budaya penciptaan baharu, sekali gus melahirkan graduan TVET berkualiti serta memenuhi keperluan industri pekerjaan.

"Peserta juga boleh mengeratkan hubungan dengan pasukan negara luar, malah melihat budaya diterapkan masyarakat dunia,” katanya.

Sumber : Berita Harian