PUTRAJAYA: Pasukan Ragbi Politeknik Malaysia pada Sabtu telah mengadakan Majlis Flag Off dan Penyerahan Jersi Pasukan Ragbi Politeknik Malaysia sempena penyertaannya di Liga Ragbi Malaysia, Divisyen satu bagi tahun 2019. Pasukan ini dibarisi oleh 22 pelajar politeknik, 6 alumni, 2 pemain kebangsaan dan diperkuatkan dengan 3 orang pemain import Fiji iaitu Veniona Vukinagauna, Rusiate Nasove, Serupepeli Turuva. Kejohanan berlangsung selama 6 minggu bermula 16 Februari sehingga 23 Mac.

 

 

Politeknik Malaysia telah layak bermain di Liga Malaysia sejak 2014 dan terus mengekalkan kedudukan sehingga kini. Bagi tahun 2019, pasukan ini akan beraksi di divisyen satu bersama Black Hawk, Silver Gaurus dan KL tigers dalam kumpulan A dan diletakkan sebagai pasukan pilihan untuk memenangi kejuaraan tahun 2019. Tiga pemain import dari Fiji ini pernah mewakili antara kelab utama Fiji, Dewata selain menimba pengalaman dengan Perak dan Kelantan dalam saingan kebangsaan seperti Piala Agong.

Turut mendukung cabaran pasukan ini apabila membuka kempen MRL menentang Silver Gaurus di Padang Tentera Udara Diraja Malaysia, Sungai Besi, Kuala Lumpur ialah dua pemain negara, Syami Afiq Edan dan Azmi Saruman. Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik Malaysia, Mohamad Amin Hamat berkata, sasaran ini berbekalkan keyakinan dan semangat tinggi. Tiga pemain import Fiji ini tetap yang terbaik untuk dipertaruhkan walaupun kami ada sedikit kekangan kewangan.

"Selebihnya dalam skuad 22 pemain pasukan ini ada enam alumni Politeknik Malaysia dan dua pemain kebangsaan, Syameer dan Azmi." katanya pada majlis pelancaran pasukan di Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti di sini hari ini.

Pasukan Politeknik Malaysia yang menduduki tempat kesembilan daripada 12 pasukan saingan MRL 2017, menghuni Kumpulan C Divisyen Satu musim ini dengan Silver Gaurus, KL Tigers dan Blackhawks. Perubahan format MRL 2019 selepas ditiadakan tahun lalu, menyaksikan hanya lapan pasukan terbaik 2017 terpilih untuk bersaing dalam Divisyen Perdana antaranya UiTM Lions, Keris Conlay dan Iskandar Raiders.

Namun pasukan bimbingan Mohd. Shafie Osman ini terpaksa melupakan khidmat pemain tujuh sebelah negara, Amalul Azim yang terikat dengan larangan Kesatuan Ragbi Malaysia dan program Sukan SEA 2019. Pengurus pasukan, Sharifuddin Yusof berkata, mereka mengadakan dua perlawanan ujian sebagai persediaan menghadapi MRL 2019 dengan menang sekali dan kalah sekali dengan JLJ (Jurutera Letrik dan Jentera) dan UPM (Universiti Putra Malaysia Serdang Angels). "Kami perlu menang perlawanan pertama esok sebagai penyuntik semangat bagi dua aksi seterusnya. KL Tigers khabarnya ada ramai pemain warga asing manakala Silver Gaurus merupakan juara bertahan Divisyen Satu," katanya, merujuk lawan Kumpulan C.

Dalam majlis ini, turut diadakan sesi penyerahan tajaan daripada 6 penaja iaitu Torpedo Sport, Vonti, High Performance Drink, AH Photo Work, ATF Sport Taping dan Koperasi Politeknik Merlimau Melaka Berhad. Majlis disempurnakan oleh Mohamad Amin bin Hamat, Timbalan Ketua Pengarah (Governan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti merangkap Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik.

Sumber : Astro Awani