BALING, 12 Mac (Malaysiaaktif) – Muhammad Irfan Hadi Sulaiman, anak ketiga daripada 10 adik beradik yang berasal dari Baling ini begitu bersemangat apabila berjaya mewakili negara dalam kategori pastri ke Kazan, Rusia bagi menyertai pertandingan kemahiran WorldSkills Competition (WSC) Ogos nanti. Bakat dan kemahiran beliau dikesan semasa beliau menjadi pelajar Bahagian Bakeri dan Konfeksionari di Kolej Komuniti, di sini. Beliau ketika ditemui melahirkan rasa teruja untuk menyertai pertandingan ini dengan menanam hasrat yang tinggi untuk memenangi pingat emas bagi menjulang nama Malaysia di mata dunia. 

                    

“Dalam pertandingan selama dua hari itu nanti, saya perlu menyiapkan tugasan tiga modul yang diberikan pada hari pertama dan tiga lagi modul pada hari kedua dalam tempoh lapan jam. “Saya amat berterima kasih kepada pensyarah saya, Rafizi Ramli atas tunjuk ajar, nasihat, bimbingan dan dorongan tanpa jemu kepada saya sehingga berjaya sampai ke peringkat ini,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Baling, Mejar Bersekutu (PA) Sobah Abdul Hamid berkata Irfan bukan sahaja menjadi harapan warga kolej malah menggalas harapan seluruh warga Baling dan Malaysia khususnya untuk menggenggam kejayaan yang amat-amat diidamkan ini. “Saya memohon semua pihak agar terus-menerus berdoa, memberi sokongan dan dorongan kepada Irfan bagi memastikan semangatnya terus berada pada tahap yang tinggi bagi menghadapi cabaran ini yang juga merupakan kali pertama Malaysia menghantar peserta bagi kategori ini,” ujarnya. Malaysia turut menyertai 19 kategori lain dalam kejohanan ini yang menjadi platform kepada peserta untuk menjalin kerjasama dengan bertukar-tukar kaedah latihan, kemahiran serta teknologi dalam kalangan negara-negara terlibat.

Sumber: https://malaysiaaktif.my