MERLIMAU: Seramai 42 orang pelajar semester satu, Diploma Pengurusan Pelancongan, Politeknik Merlimau telah menyertai lawatan sambil belajar ke Pulau Pinang.

Lawatan selama tiga hari merupakan salah satu aktiviti luar kelas yang dianjurkan bagi memberi pendedahan pengalaman sebenar berkaitan destinasi-destinasi pelancongan di negara ini.

Para pelajar telah bersepakat untuk mengenali dengan lebih dekat lagi negeri yang mendapat jolokan Pulau Mutiara ini.

Tambahan pula, negeri yang terletak di sebelah utara Semenanjung Malaysia ini merupakan salah satu lokasi yang mendapat pengiktirafan tapak warisan dunia di Malaysia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) iaitu badan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Menurut pensyarah pengiring lawatan iaitu Muaini Hanik Zunairah Haron, lawatan akademik ini merupakan salah satu aktiviti yang perlu dilakukan bagi memenuhi keperluan mata pelajaran Tourism Malaysia buat para pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan di politeknik.

Beliau turut memaklumkan bahawa segala perancangan berkaitan lawatan ini telah dilaksanakan oleh jawatankuasa pelajar yang dilantik.

“Lawatan akademik ini dimulai dengan melawat sekitar bandaraya Pulau Pinang seperti Cheong Fatt Tze, Fort Cornwallis, Masjid Kapitan Keling dan Street Art. Eksplorasi diteruskan dengan melawat ke Penang War Muzium.

"Bukan sekadar lawatan biasa, bahkan para pelajar diberi peluang untuk meneroka terowong yang terletak di bawah tanah muzium tersebut. Terdapat juga pameran perang dan artifak berkaitan di bekas kubu ini dengan fokus kepada situasi yang berlaku pada masa lampau”, katanya ketika ditemui.

Menurut beliau lagi, eksplorasi ke Pulau Mutiara diteruskan dengan mengunjungi ke galeri seniman negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang dikenali sebagai Rumah P.Ramlee. Hasil karya seni beliau merupakan salah satu warisan negara yang patut dipelihara dan dihargai oleh segenap rakyat di negara ini.

“Tidak sah jika melancong ke Pulau Pinang jika tidak membeli aneka jeruk sebagai buah tangan di Kedai Jeruk Pak Ali. Selain daripada menikmati aneka makanan di pulau syurga makanan ini, aktiviti-aktiviti lain yang dilakukan adalah membeli-belah di Pasar Malam Bukit Feringgi dan menikmati keindahan Pulau Pinang dari Bukit Bendera”, ujarnya lagi.
Menurut Mohd Faeez Shaari, Pegawai Perhubungan Pelancong, Perbadanan Bukit Bendera, pelancong yang datang memberi maklum balas bahawa Bukit Bendera merupakan destinasi pelancongan yang sangat menarik, senang dikunjungi dan mesti dikunjungi sekiranya mereka datang bercuti di Pulau Pinang.

“Rata-rata pelancong tempatan tertarik dengan perkara-perkara yang diviralkan di media sosial iaitu seperti ais kacang. Manakala bagi para pelancong dari luar negara pula mereka lebih gemar menikmati pemandangan yang indah dan melawat ke tempat-tempat bersejarah yang terdapat di sekitar Pulau Pinang.”

Seiring dengan suasana ini, Perbadanan Bukit Bendera telah menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keselesaan para pengunjung seperti tandas, ‘buggy’ berbayar, tram, Kafe Kopi Hutan dan deretan kedai makan serta cenderamata.

Muhamad Syukri Naim Azazis selaku ketua projek turut berkongsi kegembiraan kerana lawatan akademik ini telah berjalan lancar dan mencapai objektif-objektif yang telah ditetapkan.