IPOH: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu pertindihan sistem pendidikan, pensijilan, kekangan dana pembangunan serta ketidaktentuan nasib graduan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) adalah cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri berkata, penubuhan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan TVET di bawah Kementerian Pendidikan pada Jun tahun lalu, diharap dapat memberi impak positif dalam menangani isu berkenaan.

“Kita semua sedia maklum, berdasarkan struktur sedia ada, ada enam kementerian melaksanakan TVET mengikut sistem pendidikan masing-masing, iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pembangunan Luar Bandar serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Justeru, dengan tertubuhnya Jawatankuasa Pemerkasaan TVET, diharapkan impak positif dapat dilihat dalam menangani isu itu, selain dapat melaksanakan penyelarasan dan rasionalisasi merangkumi governan, penjenamaan, kualiti, industri dan pembiayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Jubli Emas Politeknik Malaysia di Kampus Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz dan Pengarah PUO, Dr Zairon Mustapha.

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Pendidikan menubuhkan Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) berperanan menyediakan laporan untuk memperkasa dan menaik taraf TVET, malah kerajaan komited membangunkan aliran itu setanding Australia dan Jerman.

Dr Wan Azizah berkata, bagi memperkasa program TVET, peranan industri perlu dipertingkatkan bagi memastikan inisiatif dan usaha kerajaan mencapai sasarannya.

Beliau berkata, fasiliti dan perkhidmatan pendidikan TVET yang mantap tidak akan memberi makna tanpa pembabitan industri dan menjadi harapan Kerajaan, pihak industri dapat terbabit dengan lebih aktif agar teknologi terkini dikongsi bersama terutama di Politeknik Malaysia.

“Pihak industri perlu sentiasa berkomunikasi dengan institusi TVET mengenai keperluan tenaga kerja yang diperlukan agar tidak berlaku percanggahan ataupun `mismatch’ antara keperluan industri dan graduan yang dihasilkan.

“Saya masih ingat ketika mengikuti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi Menteri Pendidikan sebelum ini, ke sebuah institusi latihan yang menyaksikan pelajarnya belajar memperbaiki televisyen hitam putih, sedangkan ketika itu sudah ada televisyen warna, jadi isu `matching’ antara keperluan industri dengan pembelajaran di politeknik, adalah penting,” katanya.

Dr Wan Azizah menyarankan politeknik terus memperkasa aktiviti kolaborasi dengan pihak industri melalui konsep `teaching factory’ dengan menambah pembabitan industri ke dalam institusi berkenaan dalam pelbagai bidang.

“Konsep ini akan membabitkan `apprenticeship’ (perantis industri), `work-based learning’ (pembelajaran berasaskan kerja sebenar) dan `learn and earn’ (belajar dan mendapat upah).

“Ia juga akan merangkumi ‘industry education centre’ (pusat pendidikan industri), di mana pihak industri sendiri akan menjalankan sebahagian daripada proses mereka di premis politeknik dan pelajar politeknik dapat belajar dalam suasana industri sebenar di kampus mereka,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk menganjak amalan industri seperti di kilang kepada persekitaran pembelajaran dan membawa amalan pembelajaran kepada persekitaran kilang.

Justeru, beliau berharap supaya Politeknik Malaysia terus mengorak langkah untuk menjadi institusi TVET yang responsif terhadap keperluan pembangunan negara.

Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan komited untuk membantu pekebun di Cameron Highlands yang berdepan dengan arahan pembersihan kebun mereka oleh kerajaan negeri Pahang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands bagaimanapun berkata pelbagai aspek perlu diambil kira dalam usaha untuk memastikan situasi menang-menang.

"Kita akan lakukan apa sahaja demi kepentingan rakyat. Kita ambil kira langkah dan tindakan adalah untuk kepentingan rakyat. Kita hendak tolong pekebun-pekebun ini tapi mesti tahu ini penerokaan (kebun) bagaimana? Adakah ia menjaga alam sekitar, berbahaya yang boleh menyebabkan tanah runtuh ...ini mesti diambil kira," katanya.


Sumber : Berita Harian