IPOH 29 Mei – Seramai 850 orang pelajar dan kakitangan Politeknik Ungku Omar (PUO) hadir pada majlis iftar berkonsepkan makan kenduri yang diadakan di kampus pusat pengajian itu di sini semalam.

 

Menariknya, semua hidangan pada majlis itu disediakan secara gotong-royong oleh pelajar dan kakitangan seperti nasi minyak, ayam masak merah, jelatah dan dalca.

 

Pengarah PUO, Dr. Zairon Mustapha berkata, majlis iftar tersebut dianjurkan bertujuan mengeratkan lagi hubungan antara para pensyarah, kakitangan dan para pelajar di kampus tersebut.

Menurut beliau, majlis diserikan dengan program khatam al-Quran melibatkan kakitangan dan pelajar diikuti berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah.

“Pada majlis ini juga kita telah menerima penyerahan wang zakat sebanyak RM5,000 daripada Bank Islam Malaysia Berhad untuk diagihkan kepada para pelajar dalam kategori asnaf.

“Sumbangan ini besar ertinya kerana sedikit sebanyak ia membantu meringankan beban para pelajar daripada kumpulan ini,” ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

Terdahulu pada sebelah pagi, seramai 30 orang kakitangan dan pelajar PUO bergotong-royong memasak empat kawah bubur lambuk hasil kutipan sumbangan daripada warga kampus.

Seawal pukul 8 pagi, sukarelawan yang terlibat diagih-agihkan tugas kepada beberapa kumpulan seperti menyediakan bahan-bahan memasak, persiapan dapur dan memasak.

 

Bubur lambuk yang siap dimasak pada pukul 12 tengah hari itu kemudian diedarkan kepada warga kampus dan masyarakat setempat. - UTUSAN ONLINE

Ke Atas