SEREMBAN 31 Julai - Politeknik Nilai sentiasa menerapkan semangat keusahawanan dalam kalangan para pelajarnya dengan menggalakkan mereka berniaga sambil belajar.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (B) Nazri Idris berkata, terdapat banyak cabang perniagaan terutama secara dalam talian yang boleh diceburi oleh pelajar untuk menjana pendapatan.

“Mereka boleh dapat duit poket dengan berniaga secara online. Sebab itu kami bekerjasama dengan Pos Malaysia Berhad yang pada setiap Jumaat akan datang dan membuka kaunter di Politeknik Nilai
“Pelajar yang berniaga boleh pos produk yang mereka jual tanpa perlu keluar dan kita mendidik pelajar supaya meminati dan menceburi bidang perniagaan.

“Konsep kita adalah untuk mewujudkan golongan yang mencipta pekerjaan dan bukannya mencari pekerjaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Sijil Kolaborasi Politeknik Nilai dengan 13 buah syarikat, di sini hari ini.

Majlis menandatangani kerjasama itu disaksikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Chew Seh Yong dan Timbalan Pengarah Unit Kolaborasi Industri dan Komuniti, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Nur Azureen Jaafar.

Antara syarikat tersebut ialah Zull Design Autotronic, Pro Online Sdn. Bhd., I Synergy International (M) Sdn. Bhd., Jitu Tayar dan Autoservis, Oriseeds Sdn. Bhd., Southern Super Group @ Yusdi Agency, My Hero Hypermarket dan Malaysian Institute of Purchasing and Materials Management (MIPMM).

Sementara itu, Nazri berkata, melalui kerjasama itu politeknik berkenaan akan berkongsi pengetahuan dan kepakaran serta menempatkan para pelajar bagi menjalani latihan industri di syarikat-syarikat berkenaan.

Katanya, beliau mahu melihat kerjasama dengan pihak industri diterjemahkan melalui perkongsian pengalaman yang dapat membentuk kemahiran pelajar sejak di kampus lagi.

“Kita mahu kerjasama yang dibuat memberi impak dan keberadaan industri dalam kampus itu perlu ditonjolkan.

“Sebagai contoh, kita ada kolaborasi dengan Takaful Maybank yang membimbing pelajar menduduki peperiksaan (untuk menjadi wakil insurans). Mereka diterapkan dengan pengetahuan dan ilmu tentang insurans seawal semester satu. Kalau pelajar keluar nanti mereka boleh buat secara separuh masa atau sepenuh masa,” tambahnya.

Beliau berharap kerjasama politeknik dan pihak industri akan merangkumi konteks lebih luas termasuk aspek pengkomersialan produk, pembangunan kurikulum, kerjasama pintar, penempatan bersilang dan sidang dialog antara kedua-dua pihak.

Katanya, bermula pada tahun 2013, Politeknik Nilai telah menjalinkan kerjasama dengan dua rakan industri yang kemudian meningkat kepada 13 industri pada 2014, lapan industri (2016), 23 industri (2017) dan 18 industri (2018). - UTUSAN ONLINE.