JASIN: Program Blueprint PolyGreen Politeknik Malaysia yang dilancarkan sejak 1 April 2015, akan diperkasakan lagi menerusi penambahan beberapa elemen utama serta garis panduan pembangunan mapan bagi semua Politeknik serta Kolej Komuniti (KK).

Program baharu yang dikenali Blueprint Smart Green PolyCC itu, dibangunkan oleh Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) menggabungkan kerjasama strategik melaksanakan amalan hijau terancang selaras dengan keperluan pengurusan dan operasi yang ditetapkan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub berkata, blueprint berkenaan dibuat berdasarkan empat rasional dan keperluan termasuklah untuk menjadi rujukan kepada semua politeknik dan KK di bawah Kementerian Pendidikan dalam hala tuju pengurusan mampan.

Beliau berkata, ia juga dibuat bagi memastikan aspek pembangunan mampan sejajar dengan pengurusan strategik politeknik dan KK selain memantap dan menambah baik hala tuju ke arah mancapai pengiktirafan politeknik dan KK yang mampan.

"Keperluan lain termasuklah meningkatkan keupayaan bagi inovasi dalam pembangunan mampan dan meningkatkan daya saing dalam teknologi hijau di persada antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri pelancaran Smart Green PolyCC peringkat kebangsaan dan Festival Agro Makanan dan Bioteknologi 2019 (SGFAMB2019), yang disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari di Politeknik Merlimau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohammad Naim berkata, pemantauan pencapaian daripada pelan tindakan tiu akan dilaksanakan setiap enam bulan bagi memastikan keberkesanan tindakan yang diambil.

Katanya, pelan terbabit juga akan menjadi dokumen rujukan tunggal kepada semua aktiviti dan program mampan di setiap Politeknik serta KK.

Sementara itu, Adly berkata, perkembangan pesat industri pelancongan terutama aspek 'makan-makan' tular, meningkatkan keinginan pelancong datang ke negeri ini.

Katanya, ia termasuk Coconut Shake Klebang, kuih keria antarabangsa, mi 'bodo' selain Rojak Sotong Jumbo, Cendol Kampung Hulu, Roti John Mael Lambong dan Roti Canai Kayu Arang.

"Melihat kepada senario dan penganjuran Festival Agro Makanan dan Bioteknologi ini, ia mempunyai kaitan yang rapat dan saya berharap segala hasil penyelidikan berkaitan agro makanan dan bioteknologi itu dapat dikongsi kepada masyarakat umum dalam usaha membantu kerajaan negeri menarik pelancong ke Melaka melalui sajian makanan," katanya.