SUASANA di sebuah bangunan Sekolah Rendah Islam Nurul Hidayah Penghulu Elang Kulim (SRINPEK), Kulim, Kedah gamat seketika sebaik kelibat kereta go-kart memasuki dewan terbuka itu.

Masing-masing teruja kerana kali pertama menyaksikan kenderaan lumba itu yang dibawa sekumpulan penuntut dan penyelaras Unit Projek dan Inovasi Pelajar (UPIP), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), Kulim.

Lebih menggembirakan, mereka juga diberi peluang mendekati dan duduk di dalam kereta lumba itu yang disifatkan sebagai pengalaman berharga.

Sesi perkongsian oleh penuntut PTSB itu bertujuan berkongsi hasil ciptaan kepada komuniti khususnya kepada pelajar sekolah dalam usaha menarik minat terhadap subjek sains dan teknologi.

Murid tahun tiga, Mohd Ainul Yakin Mohd Zamri, 11, berkata, perkongsian teknologi pembuatan go-kart itu menarik perhatiannya yang meminati dunia automotif.

Katanya, sebelum ini, dia hanya mengetahui pemasangan kenderaan menerusi subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT).

“Apabila melihat kereta go-kart ini, terus saya membayangkan pemasangan kereta mainan dalam RBT.

“Saya seperti tidak percaya kerana diberi pendedahan mengenai pembuatan dan reka bentuk kereta kesukaan saya ini.

“Ia menaikkan semangat saya untuk mengikuti subjek RBT, perkongsian ini juga sangat membantu dalam memberi kefahaman berkenaan teknologi,” katanya.

Pendapat itu turut disokong rakannya, Muhammad Fahmi Iman Mohammad Najmi, 12, mengenai kecanggihan kenderaan lumba itu.

“Sudah lama saya ingin menyertai perkongsian ilmu berkenaan pembuatan go-kart kerana amat menyukai kenderaan lumba ini.

“Jika sebelum ini saya banyak merujuk pembuatan go-kart di media sosial, tetapi perkongsian penuntut PTSB memberi pengalaman yang bermakna dan saya lebih memahaminya.

“Lebih mengujakan, kami juga diberi peluang duduk di tempat pemandu go-kart walaupun hanya sekejap,” katanya.

Program perkongsian ilmu Reka Bentuk Teknologi Go-Kart dan Robotik itu turut dijalankan bersama murid di Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (SKSU).

Murid tahun enam, Aimi Safiyyah Saiful Bahri, 12, pula berkata, pembabitan sehari dalam aktiviti go-kart mendedahkan dia kepada cabaran dan teknologi go-kart yang dibangunkan oleh PTSB.

“Melalui program ini, saya diberikan penerangan jelas mengenai peraturan dan teknik dalam mengendalikan go-kart terutama aspek keselamatan pemanduan.

“Saya harap PTSB juga sudi membawa kami bermain go-kart di litar pada masa akan datang. Saya juga berhasrat mempelajari dengan lebih mendalam aspek penghasilan go-kart daripada penyelidik dan penuntut PTSB,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Nur Zullina Shahira Zulkifli, berkata program anjuran penuntut tahun akhir itu bertujuan mendekati komuniti dengan penyampaian ilmu daripada mahasiswa dalam usaha meningkatkan pembangunan komuniti.

Katanya, selari dengan visi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai penjana utama modal insan inovatif, perkongsian ilmu itu menjadi landasan bagi penuntut untuk menterjemahkan ilmu yang diperoleh melalui penghasilan projek inovasi.

“Ini sebahagian aktiviti luar kepada komuniti yang diharapkan dapat mengeratkan hubungan bersama, selain melahirkan pelajar yang dapat berkongsi pengalaman dan ilmu yang dipelajari daripada Projek Tahun Akhir (FYP) ini.

“Program ini juga bertepatan dengan subjek Reka Bentuk Teknologi (RBT) apabila pelajar turut didedahkan dengan teknologi dan inovasi pembuatan go-kart,” katanya.

Katanya, kemahiran dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang tempoh pengajian di PTSB diukur melalui penghasilan projek akhir.

“Melalui program ini, penuntut mampu menilai kemampuan diri sendiri dalam menguasai kemahiran dalam bidang yang diceburi.

“Di samping itu, ia menjadi pemangkin untuk meneruskan kerjaya dalam bidang masing-masing. Peningkatan kerjasama dan keyakinan diri yang diperoleh oleh penuntut sangat bermanfaat untuk proses temu duga dan pekerjaan kelak,” katanya.

Nur Zullina memberitahu, keberkesanan projek itu turut membuka mata komuniti setempat dan pemain industri untuk menilai kemampuan mahasiswa politeknik menghasilkan inovasi yang mempunyai nilai komersial.

Program perkongsian ilmu itu juga mendapat kerjasama Persatuan Mata Hati Malaysia (MHM) dan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Kedah Daerah Kulim.

Sementara itu, Pengarah PTSB, Yusma Yusof berkata, program itu menjadi mekanisme berkesan untuk membina modal insan kepada warga politeknik supaya berketerampilan tinggi dan berdaya saing menghasilkan cetusan idea yang kreatif dan inovatif.

“Pembangunan aplikasi ini dilihat mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah kompleks.

“Dalam mendepani cabaran Industri 4.0, generasi muda khususnya harus menguasai bidang STEM. Ini bertujuan melahirkan modal insan yang mahir dalam bidang teknologi masa hadapan yang menjadi teras revolusi Industri 4.0,” katanya.

Majlis Perasmian Penutupan Program Perkongsian Ilmu Reka Bentuk Teknologi disempurnakan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Kulim, Ismail Othman.