ATLET ragbi kebangsaan Amalul Hazim Nasarrudin dinobatkan Olahragawan Politeknik Merlimau Melaka (PMM) pada majlis yang berlangsung di Bandar Hilir baru-baru ini.

Kecemerlangan Amalul yang juga pelajar Jabatan Kejuruteraan Mekanikal termasuk memperolehi pingat perak ragbi Sukan SEA Filipina 2019 dan tempat kelima keseluruhan Ragbi Sukan Asia Palembang 2018 antara faktor pengiktirafan berkenaan.

Malah dia juga membawa pasukannya muncul juara beberapa kejohanan ragbi pada peringkat kebangsaan sepanjang tahun 2018.

Miza Alwani Mohamad Yusof pula dinobatkan sebagai olahragawati menerusi pencapaian cemerlang dalam sukan bola jaring di peringkat kebangsaan dan antarabangsa bersama pasukan PMM dan Politeknik Malaysia.

Pengarah PMM, Rosli Hamid, berkata, kejayaan dua atlet berkenaan amat membanggakan berikutan berjaya mengharumkan nama negara, Melaka dan PMM.

Katanya, ianya sekali gus menjadi perangsang kepada pelajar lain untuk aktif dan cemerlang dalam sukan dan akademik.

Beliau berkata, program anjuran Unit Sukan, ko-kurikulum dan Kebudayaan secara dwi tahunan itu diyakini meningkatkan motivasi warga PMM mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa depan.

“Untuk rekod, kali pertama program seumpama ini dilaksanakan pada 2011, cuma kelainan yang ditonjolkan pada kali ini dari segi pencalonan yang ditambah merangkumi anugerah kategori kebudayaan dan unit beruniform.

"Berikutan itu nama majlis anugerah terbabit dikenali sebagai PMM Co-Curricular Awards 2019,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan Pengarah Bahagian Perancangan Program dan Institusi, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti merangkap Yang Dipertua Majlis Sukan Politeknik Muhamad Rumzi Mamat.