KECACATAN pada wajah akibat ketumbuhan sejak kecil tidak pernah menjadi penghalang bagi pemuda ini untuk menjalani hidup dan mengejar cita-cita seperti rakan seusianya yang lain.

Muhammad Aliff Izwan Rosdi, 22, yang juga penuntut Semester Dua Sijil Multimedia Pengiklanan dari Kolej Komuniti Kok Lanas, Kelantan, berkata dia tidak sesekali menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk berusaha selain mendapat sokongan penuh rakan-rakan dan tenaga pengajar.

Menurutnya, meskipun mengalami kecacatan muka sebelah kiri akibat penyakit Neurofibromatosis atau ketumbuhan di bahagian muka ketika berusia tiga tahun, dia tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.82 dalam semester lalu.

“Kecacatan yang dialami tidak pernah sesekali membuatkan saya berasa rendah diri, kerana ramai yang sudi berkawan dan berkongsi ilmu dan itulah pembakar semangat bagi saya meneruskan pengajian.

“Mereka juga tidak malu untuk berkawan dengan saya dan menerima kekurangan diri ini selain tidak pernah mengejek dengan kecacatan pada wajah saya,” katanya yang ditemui ketika Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar Kolej Komuniti Kok Lanas Bagi Tahun 2020, baru-baru ini.

Muhammad Aliff Izwan yang bercita-cita menjadi seorang pereka grafik adalah salah seorang penerima watikah perlantikan itu.

Katanya, kebanyakan orang yang menemuinya buat pertama kali akan merasa pelik dan bertanya, namun dia sudah lali dengan pelbagai pertanyaan dan tidak lokek memberi penerangan kepada sesiapa saja sehingga mereka faham.

Menceritakan semula kisah hidupnya, anak sulung daripada dua beradik ini berkata, pada awalnya dia hanya mengalami demam panas berpanjangan dan apabila mendapatkan rawatan di hospital, doktor mengesan terdapat ketulan kecil pada bahagian lehernya.

Muhammad Aliff Izwan berkata dia melalui tiga pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu dan kesannya menyebabkan saluran telinga sebelah kiri menjadi sempit.