MEMBAYANGKAN sahaja sudah cukup susah namun gadis tanpa tangan, Norfarrah Syahirah Shaari mampu membuktikannya apabila melipat cebisan kain menggunakan jari kaki dengan sempurna.

Lincah sahaja melihat jari jemari kaki kakitangan Kolej Komuniti Teluk Intan kelainan upaya itu menjahit kelengkapan perlindungan diri (PPE) petugas perubatan barisan hadapan (frontliner).

Video berdurasi 1 minit 59 saat itu dengan kaspyen bersahaja menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi menjadikan sesiapa yang melihatnya terkesima dengan keupayaan gadis luar biasa itu.

“Ramai yang nak tengokkan macam mana saya menjahit guna kaki. Ok, saya tunjuk skill saya menjahit guna kaki je dengan cara saya sendiri. Semangat nak menjahit baju PPE Frontliner ni.

“Ni je yang mampu saya dan team staf kolej komuniti Teluk Intan serta beberapa sukarelawan tukang jahit sekitar Teluk intan yang semangat nak membantu. Semoga urusan kami dipermudahkan, amin,” kongsinya dalam media sosial.
inspirasi

Sebanyak 400 meter kain PPE yang dipotong di kolej dan di rumah beberapa tukang jahit dikumpulkan sebelum diagihkan kepada sukarelawan untuk dijahit di rumah masing-masing.

Dengan tanda pagar #darikomunitiuntukkomuniti, video yang tular dalam media sosial meraih hampir 5,000 tontonan selepas dikongsikan penyanyi dangdut versatil yang juga penyampai radio Kool FM, Haiza atau nama sebenarnya Rohaizah Nordin.