KUANTAN: Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) Semambu, di sini menerima 300 kilogram (kg) pelbagai jenis buah dan sayur disumbangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang, kelmarin.

Pengarah POLISAS, Mohamad Isa Azhari, berkata hasil pertanian segar itu diserahkan kepada pengusaha kafe yang bertanggungjawab menyediakan hidangan kepada 125 penuntut yang tinggal di asrama.

Menurutnya, sebahagian buah dan sayur bernilai kira-kira RM1,500 itu turut diagihkan kepada kakitangan serta felo yang tinggal dalam kawasan kampus bagi meringankan beban berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sebelum ini pihaknya turut menerima pelbagai sumbangan daripada Ahli Parlimen, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) khusus untuk penuntut yang tidak boleh pulang ke kampung.

“Bantuan yang diterima memberi lebih keselesaan kepada penuntut yang kini terpaksa berada di asrama dalam tempuh panjang.

“Saya bagi pihak POLISAS mengucapkan terima kasih kepada penyumbang yang prihatin dengan kesulitan dihadapi penuntut yang berada di asrama termasuk 131 lagi di rumah sewa,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan makanan tiga kali sehari kepada penuntut dengan kebanyakan berpuas hati walaupun sebelum ini kelihatan kurang selesa.

Mohamad Isa berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan penuntut yang berada di asrama dan rumah sewa bagi memastikan mereka tidak terlalu tertekan berikutan PKP yang panjang.

“Saya menasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu bimbang mengenai anak mereka kerana kebajikan penuntut sentiasa diberi keutamaan, pelbagai kemudahan diberikan,” katanya.