Penyerahan dibuat oleh Pengarah PKK Ts. Zainab Othman kepada Pengarah HWKK Sabah Dr. Tan Bee Hwai, semalam.

Pelindung muka yang dihasilkan dari plastik menggunakan kaedah gabungan pencetak tiga dimensi (3D Printer) dan DIY, merupakan penghasilan fasa kedua yang dicetuskan oleh Pensyarah Diploma Kejuruteraan Mekanikal Nielson Peter Sorimpuk.
 
Menurut Zainab, penghasilan kesemua pelindung muka bagi fasa kali kedua ini disiapkan dalam tempoh tiga hari dengan bantuan 10 kakitangan dan 20 pelajar yang berada di kampus PKK berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Untuk jenis pelindung muka yang dihasilkan menggunakan 3D printer, kita boleh gunakan semula dengan menggantikan visor muka sahaja. Manakala pelindung muka DIY adalah bersifat pakai buang," katanya.

Penghasilan kali ini juga adalah kolaborasi di antara PKK dan Syarikat Miccosin, iaitu salah sebuah rakan industri PKK yang menyumbangkan sebahagian besar bahan untuk menghasilkan pelindung muka berkenaan.

"Inisiatif ini dibuat sebagai sumbangan kecil kami untuk sama-sama terbabit secara tidak langsung dalam mengekang wabak COVID-19 ini dari terus menular," katanya semasa ditemui media.