SERAMAI 31 pelajar zon tengah 1 yang terdiri daripada pelajar politeknik, Kolej Komuniti dan penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) teruja apabila menjadi kumpulan pertama bertolak pulang ke kampung masing-masing di zon utara pada malam ini dengan menaiki bas di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA).

Tinjauan di PSA yang diberikan tanggungjawab menguruskan penghantaran mereka mendapati rata-rata pelajar sedang mengemaskan pakaian dan barang peribadi untuk dibawa pulang.

Pelajar Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL) Eka Nabilah Balqis Agus Irawan, 21, berkata, dia pernah menangis kerana membayangkan terpaksa menyambut Aidilfitri tanpa keluarga tersayang.

"Pengumuman Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) baru-baru ini mengubat kesedihan saya itu, ibu ayah pun tonton pada malam itu, perasaan saya sekarang terharu dan gembira," katanya.

Pelajar Kolej Komuniti Selayang, Uwais Qarni Mohd Idris, 23, pula berkata, setiap hari dia membuat panggilan video dengan ibu bapanya sebelum ini memandang dia tinggal seorang diri di rumah sewa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ayah saya juga sanggup berusaha ke balai polis untuk memohon kebenaran mengambil saya di sini tetapi tidak dapat kelulusan," katanya.

Seorang lagi pelajar PMKL Jespreet Kaur Daljit Singh, 21, turut bersyukur kerana tidak semua berpeluang pulang seperti mereka.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan penghantaran pulang dan kami berasa bertuah menjadi kumpulan pertama yang pulang.

"Kami bersyukur kerana tidak semua bernasib baik seperti kami, ada rakan beragama Islam berada di zon merah tidak dapat pulang," katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PSA Zalina Ismail berkata, kesemua 31 pelajar itu akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan IPD Kota Setar.

"PSA diberi amanah dan tanggungjawab oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk dijadikan antara tempat pengumpulan pelajar dan 'departure point' ke destinasi terbabit.

"Pelajar zon tengah 1 adalah pelajar dari politeknik, Kolej Komuniti dan penuntut UiTM yang terkandas di sekitar Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur," katanya.

Zalina berkata, secara keseluruhannya terdapat seramai 75 pelajar disenaraikan tetapi atas beberapa sebab hanya 61 pelajar akan dihantar pulang malam ini.

"

Selain 61 pelajar yang dijadualkan bertolak pada jam 10 malam ini, ada dua pelajar tidak dapat pulang kerana berada di zon merah dan selebihnya tidak pulang atas nasihat keluarga masing-masing.

"Semua yang akan bertolak pada malam ini sudah menjalani saringan kesihatan semalam, status kesihatan mereka direkod menggunakan App MySejahtera.

"Alhamdulillah semua sihat dan sebelum naik bas malam nanti, mereka juga akan disaring sekali lagi. Ini adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.