KOTA KINABALU: Dalam keadaan negara berdepan penularan jangkitan COVID-19 yang menggugat rutin sosioekonomi dan pendidikan sejagat, ianya dilihat telah memaksa institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta untuk bertindak memperkasakan sistem sokongan pelajar dan kakitangannya dalam menangani cabaran krisis COVID-19.

Lantaran sebaik Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengaktifkan mod Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian kepada seluruh IPT di negara ini termasuk universiti, politeknik, kolej komuniti, institut kemahiran dan pusat latihan teknikal yang terjejas akibat wabak ini.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Komuniti Sabah (PESAN) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal Politeknik Kota Kinabalu (PKK) Perowansa Paruka berkata, politeknik perlu memperhalusi akan kepentingan aspek keselamatan dan privasi, keterlibatan, kualiti pelaksanaan dan kesinambungan PdP sebagai tunjang utama atau teras penting dalam sebarang inisiatif untuk memantapkan kaedah PdP dalam talian agar pihaknya bersedia mendepani cabaran hidup era norma baharu sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“Saya fikir politeknik perlu mengimarahkan aspek keberkesanan pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi pelajar menerusi e-pembelajaran berkonsepkan forum, bengkel, kursus, seminar atau sebarang program pemantapan jati diri yang bersinergi dan komprehensif bagi menambahkan pengalaman mereka.

“Bersinergi dan komprehensif yang saya maksudkan ialah dari aspek penyampaian maklumat bahan PdP kepada pelajar dan juga kaedah penerimaan oleh pelajar itu hendaklah berkonsepkan pembelajaran kendiri yakni mereka perlu kreatif dan bijak dalam mengadaptasi maklumat berkaitan kepada pembelajaran secara 'selfpaced' dan 'live online learning'.

“Pelajar pula harus lebih berdisiplin, berstrategi dan bersedia untuk belajar secara kendiri serta mengamalkan tabiat lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri.

“Saya percaya perkara seumpama ini akan dapat membantu mencapai misi dan merealisasikan visi politeknik ke arah menjadi peneraju kelestarian pendidikan teknikal dan separa profesional khususnya dari aspek pembentukan kepribadian pelajar yang holistik, berilmu pengetahuan, berdaya saing dan memiliki nilai kendiri yang mampan demi kelestarian sejagat,” jelasnya.

Namun begitu, Perowansa yang juga Ketua Biro Teknologi Maklumat dan Komunikasi Korporat PESAN menjelaskan kaedah pengajaran tidak hanya setakat di situ kerana setiap pensyarah perlu menyediakan ruang e-pembelajaran dan membimbing pembelajaran tersebut secara intensiti selain memberikan latihan pengukuhan dan kefahaman berterusan kepada pelajar.

Menurutnya pengalaman pembelajaran dari persekitaran hakiki kepada persekitaran maya yang dipraktikkan sebelum ini beralih kepada pelantar
pembelajaran digital menjadikan kemudahan infrastruktur seperti internet dan pemilikan peranti komputer untuk setiap pelajar antara paling hangat menjadi rungutan sejati daripada warga politeknik terhadap pembelajaran dalam talian.

“Sebenarnya konsep e-pembelajaran memang berupaya mengawal pembelajaran pelajar dengan lebih baik dan konsisten melalui ruang pembelajaran secara kendiri, kolaboratif dan interaktif.

“Sepanjang pengetahuan saya pihak pentadbiran politeknik sedang mengusahakan beberapa inisiatif bagi memastikan kemudahan di politeknik dipertingkatkan dari semasa ke semasa, namun masih terdapat keluhan dari kalangan pelajar dan pensyarah mengenai masalah capaian internet.

“Oleh sebab itu, saya mencadangkan pihak politeknik perlu mengenalpasti manamana kontraktor bersepadu yang berpengalaman dan berwibawa atau pembekal perkhidmatan yang memiliki kemahiran dan kepakaran untuk menyediakan kemudahan internet yang efisyen, responsif dan berkelajuan tinggi bagi memastikan pelaksanaan PdP dalam talian berjalan lancar,” katanya.

Selanjutnya Perowansa menjelaskan sebagai petunjuk komitmen dan kesungguhan pihak politeknik untuk membantu pelajar, kerajaan telah meluluskan beberapa bentuk bantuan dan peruntukan dari aspek kewangan mahupun akademik bagi membolehkan pelajar terbabit menerima kaedah pengajaran yang dilaksanakan dengan mudah tidak kira walau di mana mereka berada.

“Sudah tentulah pihak politeknik akan lebih berusaha menyediakan warganya untuk menghadapi perubahan kemungkinan menggunakan kaedah dalam talian atau jarak jauh sebagai mod utama PdP sehingga Disember 2020 berdasarkan oleh nasihat pengurusan tertinggi KPT.

“Sungguhpun terdapat kekangan yang terpaksa diharungi berikutan pelaksanaan pembelajaran atas talian ini, saya fikir kualiti graduan tidak akan terjejas sama sekali memandangkan Program Learning Outcome (PLO) dan Course Learning Outcome (CLO) sentiasa dipenuhi.

“Apapun perubahan mungkin hanya berlaku pada konteks kaedah penyampaian PdP yang merangkumkan kriteria penilaian dan pembelajaran alternatif,” katanya.

Persoalan sejauhmana kewajaran semester akan datang ditangguhkan, Perowansa menjelaskan bahawa keputusan untuk meneruskan semester secara PdP atas talian tertakluk kepada kajian kolektif yang dibuat sejak sekian lama ke atas pelajarpelajar politeknik yang mana jumlah kumulatif menunjukkan majoriti pelajar sudah bersedia untuk PdP secara atas talian.

Sekiranya terdapat pelajar bermasalah dan berhasrat menangguhkan pengajian, Perowansa menjelaskan permohonan itu boleh dikemukakan seperti kebiasaan kerana Jabatan Hal Ehwal Pelajar PKK telah menguruskan permohonan sedemikian sejak dahulu lagi.

“Pada hemat saya hasil daripada kajian kolektif berkenaan kaedah penilaian alternatif merangkumi aktiviti makmal dan bengkel perlu ditransformasikan menerusi pelaksanaan secara demonstrasi dan eksperimen atas talian atau inovasi simulasi dan virtual learning.

“Pelajar perlu memberi tumpuan secara konsisten semasa belajar dan memberi komitmen sepenuhnya dan jika pelajar sendiri tidak komited maka e-pembelajaran tidak akan menampakkan hasil yang berkualiti dalam pembelajaran pelajar itu sendiri.

“Keseluruhannya, perkara mustahak yang perlu diberi penekanan dalam keadaan krisis pandemik COVID-19 ialah pihak politeknik perlu menyediakan pelbagai fleksibiliti bagi membantu pelajar menangani cabaran teknikal, sosioekonomi mahupun emosi dalam meneruskan pengajian mereka,” jelasnya.
ROSLI

Sementara itu, Ketua Biro Aktivis dan Kemasyarakatan PESAN merangkap Pegawai Kanan Kumpulan Sokongan Unit Pengurusan Kolej Komuniti Tawau (KKT) Rosli Gari, memberikan pandangannya mengenai tips dan panduan pelajar dalam menjalani norma baharu pembelajaran secara atas talian yang mana mereka perlu peka dengan sebarang maklumat perkongsian yang diberikan oleh pensyarah menerusi media sosial yang digunakan seperti aplikasi WhatsApp, Telegram atau e-Learning sebagai platform untuk merancang dan memberi arahan.

Beliau berkata perbincangan antara pensyarah dan pelajar mengenai arahan tugasan atau kerja rumah secara atas talian perlu dilakukan sekerap mungkin yang mana pelajar boleh mengemukakan soalan kepada pensyarah dan bimbingan terhadap mereka pula harus diberikan sama ada secara langsung atau sebaliknya.

“Pelbagai pelantar dalam talian boleh diakses bagi tujuan pembelajaran, seperti Skype, Zoom, Webex, Schoology, Google Classroom, Microsoft Teams, Cidos elearning portal serta banyak lagi aplikasi latihan dalam talian.

“Apa sahaja pelantar pembelajaran yang hendak digunakan, paling penting ianya mesti ada sokongan antara aspek pendekatan pembelajaran dan keserasian mudah alih berkomputer seperti mempunyai ciri-ciri keselamatan dan privasi, senang guna, mudah diakses, khidmat teknikal, penilaian dan pelaporan serta boleh diintegrasikan dengan aplikasi yang lain.

“Kemudahan infrastruktur amat berkait rapat dengan infostruktur dan saling memerlukan setiap satu sama lain, jika salah satu daripadanya gagal berfungsi akan menyebabkan proses pembelajaran dalam talian tidak dapat disempurnakan,” katanya.

Selain itu, beliau juga secara peribadi bersetuju agar semester akan datang diteruskan berbanding ditangguhkan kerana yakin pihak pengurusan KKT sentiasa mengutamakan keperluan dan kebajikan pelajar dalam apa jua perkara yang diputuskan.

Ini terbukti dengan pelbagai bantuan telah diberikan oleh KPT bagi meringankan beban pelajar untuk mengikuti PdP walau dalam keadaan krisis, malahan bantuan bekalan makanan dan minuman termasuk kewangan dan lain-lain usaha juga telah diberikan sebelum ini.

Rosli berkata pensyarah juga boleh menghasilkan dan berkongsi video-video pembelajaran supaya pelajar pada bila-bila masa boleh belajar secara kendiri menerusi video-video berkenaan.

“Saya rasa tanggungjawab pelajar itu juga perlu sentiasa berlangsung dalam apa keadaan sekalipun terutama dalam mendepani norma baharu kehidupan bagi menghadapi pandemik COVID-19 ini.

“Kebanyakan pelajar berasa selesa dan lebih fokus dengan kaedah pembelajaran seumpama ini berbanding mengikuti kuliah di dalam kelas yang dianggap terbatas dan terkurung, bahkan mereka sangat gembira apatah lagi berpeluang mengambil bahagian secara aktif dalam perbincangan dan aktiviti dalam talian.

“Sememangnya segala usaha dan pelaksanaan yang telah diluluskan oleh KPT bukan sahaja mampu mengatasi isu keselamatan atau menghentikan wabak COVID-19, bahkan paling utama adalah untuk memberi satu anjakan menerokai peluang-peluang kemahiran digital pada masa hadapan,” katanya.

Menurut Rosli perkara sedemikian merupakan satu proses peningkatan ilmu bagi membolehkan pelajar KKT sentiasa bersedia ke hadapan dan secara tidak langsung dapat melonjakkan kebolehpasaran pelajar terbabit dalam dunia yang semakin mencabar ini.