KUALA LUMPUR : Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi akan terus dimantapkan sebagai persediaan untuk diangkat sebagai aliran pendidikan utama pelajar.

Menterinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata mulai tahun hadapan, TVET bukan lagi dilihat sebagai pendidikan sekunder (secondary), tetapi sebagai bidang pendidikan keutamaan dan arus perdana (mainstream).

Bercakap kepada The Malaya Post, Datuk Seri Dr. Noraini berkata usaha ini digarap melalui pemantapan penjenamaan, peningkatan kualiti kurikulum, peningkatan kolaborasi dengan industri, pemantapan tadbir urus dan penambahan penajaan kepada graduan.

“Kita mahu promosi TVET sebagai kursus pilihan utama pada bakal pelajar dan jadikan TVET ini sebaris tarafnya dengan kursus-kursus “mainstream” seperti Ijazah institut pendidikan tinggi awam (IPTA).

“Produk keluaran TVET bakal mengisi peluang dan permintaan Revolusi Industri 4.0 (Industrial Revolution 4.0),” ulasnya.


Seiring dengan Revolusi Industri 4.0, pekerja kini perlu mengambil inisiatif untuk kekal signifikan dengan skop kerja dengan mengasah semula kemahiran yang ada.

TVET dilihat mampu mengangkat agenda untuk mengasah kemahiran itu melalui pengendalian kursus kepada pekerja industri yang menggunakan peralatan pemesinan analog kepada perkakasan digital.


Dua tumpuan utama TVET, kata Datuk Seri Dr Noraini, adalah latihan komprehensif dalam bentuk pemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling).

Oleh itu, ia sememangnya berketepatan dengan situasi semasa negara yang sedang berhadapan dengan wabak COVID-19 yang menjejaskan pelbagai pihak serta menyaksikan ramai kehilangan mata pencarian dan pekerjaan.

Mengambil contoh negara-negara maju, Datuk Seri Dr. Noraini menambah, TVET sebenarnya merupakan antara kunci kejayaan dalam perindustian seperti German dan Jepun yang memperkasa TVET sejak dahulu lagi.

“Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin juga amat menekankan kepentingan TVET. Keprihatinan beliau dizahirkan apabila beliau sendiri setuju untuk menjadi Pengerusi Majlis TVET Negara pada bulan Mac lalu,” ujarnya.


Dalam pada itu, dalam pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov lalu, sebanyak RM6.5 billion diperuntuk untuk akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera jalankan program pendigitilan pembelajaran TVET dan naik taraf program ke peringkat diploma.

KPT, dalam masa yang sama, memaklumkan sejumlah RM29 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program-program TVET yang turut merangkumi inisiatif pendidikan Islam dan pembelajaran sepanjang hayat kepada 15,000 pelajar di institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Ia merupakan antara lapan inisiatif Belanjawan 2021 sebagai usaha membantu graduan dan kementerian itu.

Inisiatif tersebut dilihat mampu membantu meningkatkan kebolehan dan daya saing bagi golongan belia serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Mengenai kebolehpasaran graduan politeknik dan kolej komuniti, Pemangku Ketua Pengarah, JPPKK (Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti) Mohamad Amin bin Hamat berkata ketika dihubungi The Malaya Post lebih 95 peratus daripada mereka mendapat tempat dalam pelbagai industri.

Hampir 7,000 usahawan daripada kalangan graduan berjaya dilahirkan sejak 2018, dan lebih membanggakan, ada di antara mereka mampu mencapai pendapatan mencecah lima angka.

“Mereka juga berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada individu lain. Bagi melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan dalam aliran TVET, KPT turut memperluas jaringan kolaborasi dengan institusi berkaitan, termasuk syarikat multinational menerusi kerjasama berimpak tinggi.

“Mereka didedahkan dengan 50 hingga 70 peratus elemen kemahiran semasa proses pembelajaran mereka. Jadi kita dapati bahawa kemahiran yang diperolehi di institusi dapat memberi mereka latihan yang bersesuaian, mengikut kehendak industri,” katanya. –THE MALAYA POST