BACHOK: Panjangnya cuma tiga sentimeter namun keunikan susunan sisik kecil, sirip dan ekornya dengan kombinasi warna yang menarik ketika mengembang menyebabkan nilai seekor ikan laga jenis ‘sekarin betta’ mencecah ribuan ringgit.

Kecantikan ikan laga variasi baharu itu membuat hati sesiapa sahaja terpaut tatkala memandangnya, termasuk graduan Diploma Perakaunan dari Politeknik Kota Bharu (PKB), Mohd. Fazrin Abdul Majid, 26.

Malah, Mohd. Fazrin nekad melupakan bidang perakaunan dan memilih untuk membiak baka ikan tersebut sebagai satu kerjaya selepas menyedari potensinya dalam menjana pendapatan lumayan.

Menurut Mohd. Fazrin, pandemik Covid-19 yang menyerang negara tahun lalu membawa hikmah tersendiri apabila ikan sekarin betta yang dibiaknya mendapat permintaan tinggi dalam tempoh tersebut.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak menyambung pengajian ke peringkat ijazah dalam bidang perakaunan kerana telah jatuh cinta dalam penternakan ikan hiasan.

“Kalau berpeluang sambung belajar sekali pun, saya akan memilih jurusan akuakultur untuk mendalami ilmu membelav dan membiakkan ikan secara komersial,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Mentera, di sini hari ini.

Bercerita lanjut, Mohd. Fazrin berkata, dia pada mulanya aktif membiakkan pelbagai variasi ikan guppy sehingga dirinya digelar Yen Guppy sebelum beralih arah kepada ikan sekarin betta kira-kira dua tahun lalu.

Katanya, pada peringkat permulaan, dia membeli beberapa ekor induk jantan dan betina dari Indonesia untuk dibiakkan dan tidak pernah jemu menimba ilmu daripada pakar sekarin serta menerusi internet.

“Setiap induk tersebut dibeli dengan harga RM250 seekor secara dalam talian sebelum akhirnya melahirkan anak sehingga tiga generasi. Kemudian saya promosikan ikan tersebut secara dalam talian,” katanya.

Menurut Mohd. Fazrin, seekor induk betina mampu bertelur sehingga 200-1,000 biji pada satu masa, namun hanya 5-80 biji sahaja yang mampu membesar dengan selamat.

“Saya turut mempunyai kerja sampingan iaitu mencari jentik-jentik dan moina (kutu air) yang merupakan makanan dan sumber protein utama kepada ikan belaan saya,” katanya.

Ujar Mohd. Fazrin, seekor sekarin betta boleh dijual dengan harga serendah RM2 dan hingga RM250 seekor bergantung kepada kecantikan sisik ikan tersebut dan jika memiliki corak unik serta menyerlah, ikan itu boleh dijual hingga RM2,000 seekor.

Sehingga kini pemuda itu memiliki lebih 3,000 sekarin betta termasuk jenis Betta Fancy Koi dan Betta Fancy Cooper yang diternak di ladang miliknya, Betta HMPK Farm di Kampung Mentera. -UTUSAN ONLINE