Butterworth: Pelajar lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari kolej komuniti dan politeknik mempunyai kebolehpasaran kerja yang tinggi, sehingga mencecah 98 peratus setiap tahun.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Mansor Othman berkata, keadaan itu membuktikan pelajar berkemahiran ini mendapat tempat dan menjadi pilihan majikan dan industri, selain berpotensi melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dan universiti.

"Kami berbangga dengan rekod kebolehpasaran kerja dalam kalangan pelajar lepasan kolej komuniti dan politeknik di negara ini, kerana institusi tersebut menyediakan program pengajian yang responsif dengan keperluan industri supaya tidak berlaku lambakan siswazah (lepas diploma) tanpa kerja.

"Malah di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sentiasa membuat semakan dan penjajaran program pengajian dari semasa ke semasa supaya pelajar sudah bersedia memasuki fasa pekerjaan malah TVET memberi nilai tambah kepada pelajar yang melengkapkan sijil dan diploma mereka dengan pengiktirafan serta pentaulihan profesional daripada badan serta agensi diperakui," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Tasek Gelugor bagi Tahun 2020 di sini hari ini.

Sementara itu, Mansor berkata, golongan yang diberhentikan kerja dan suri rumah digesa untuk mengikuti Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang dilaksanakan oleh kolej komuniti seluruh negara dalam usaha menambah pendapatan.

– LAGI

MANSOR-KEBOLEHPASARAN 2 (AKHIR) BUTTERWORTH

Katanya, PSH menyediakan pelbagai kursus kepada orang ramai terutama membabitkan kursus masakan, penyaman udara, pendawaian elektrik dan pembuatan kek serta kuih.

"Kewujudan kolej komuniti juga telah memperkenalkan komuniti kepada program PSH, termasuk program jangka pendek untuk meningkatkan kemahiran individu dan menjadikan komuniti sedar akan pentingnya pembelajaran yang berterusan selain peningkatan ilmu dan kemahiran.

"KPT mendapati ramai yang mengikut PSH mampu menambah pendapatan malah ada yang telah berjaya sehingga mampu menjadi usahawan dan memberikan pekerjaan kepada orang lain," katanya.

– BERNAMA

TAG: KPT, kolej komuniti, TVET, Mansor Othman, kebolehpasaran kerja, graduan..