PENGENALAN
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Politeknik mula diperkenal di Malaysia melalui penubuhan Politeknik pertamanya, Politeknik Ungku Omar di Ipoh di bawah Pelan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 1969. TVET diperkukuhkan dengan perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai pendidikan pada tahun 1979 dan Pelan Induk Perindustrian Kebangsaan pertama (1985–1995). Kesemua perancangan termasuk perakuan Jawatankuasa Kabinet mengenai latihan (1991), telah membolehkan penubuhan lebih banyak Politeknik serta menambah program pengajian bagi dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan perkhidmatan. Pada 20 November 2009, pihak Jemaah Menteri telah meluluskan Memorandum daripada Menteri Pengajian Tinggi berkaitan
dengan Hala Tuju Transformasi Politeknik yang melibatkan empat teras berikut:
Pertama : Memperkasa politeknik ke arah menjadi pilihan yang setanding dengan universiti awam;
Kedua : Membangunkan program pengajian dan penyelidikan dalam bidang tujahan yang bertunjangkan kekuatan di setiap politeknik;
Ketiga : Memperkasa warga politeknik dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi;
Keempat : Membina imej bereputasi tinggi budaya kerja cemerlang.
Selain itu, pihak Jemaah Menteri pada 26 Mac 2010 telah menimbang Memorandum daripada Menteri Pengajian Tinggi yang
bersetuju supaya ditubuhkan sepuluh Politeknik METrO, empat politeknik dalam RMKe-9 dan enam politeknik dalam RMKe-10.
Konsep penubuhan dan pelaksanaan kolej komuniti di setiap kawasan Parlimen telah dipersetujui pihak Jemaah Menteri pada 5
Julai 2000. Walau bagaimanapun, pada 2005 pihak Jemaah Menteri telah menimbang semula konsep tersebut dan bersetuju agar
penubuhan kolej komuniti berdasarkan keperluan kawasan setempat. Pada tahun 2007, Jemaah Menteri bersetuju agar kolej
komuniti dijadikan hab Pembelajaran Sepanjang Hayat. Lanjutan itu, pada tahun 2014, Jemaah Menteri telah mengambil maklum
mengenai pelaksanaan program Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) di kolej komuniti.
Bagi mengukuhkan peranan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam bidang pendidikan dan latihan, Jemaah Menteri pada 24 Mac 2017 telah meluluskan penggabungan Politeknik dan Kolej Komuniti dalam satu jabatan. Struktur organisasi baharu Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) telah diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 23 Februari 2018.