SLIM RIVER: Seramai 90 penuntut Politeknik Sultan Azlan Shah (POLISAS), Behrang dekat sini terpaksa dipindahkan selepas kediaman mereka ditutup ekoran kejadian ribut petang Isnin.

Dalam kejadian yang bermula kira-kira jam 5.30 petang itu, seorang pengawal keselamatan wanita berusia 34 tahun cedera di kepala terkena runtuhan syiling dan dihantar ke Hospital Slim River untuk rawatan lanjut.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Yusli Abd Latiff, 20 batang pokok tumbang dan menghalang lalulintas.

atanya, aras empat tiga blok bangunan asrama telah ditutup kerana bumbung telah diterbangkan ribut di samping salah satu bangunan itu dihempap pokok tumbang.

Sebagai langkah keselamatan, sawar-sawar telah dipasang di tiga blok asrama, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Menurut Yusli, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira jam 6.41 petang.

Selain asrama, makmal, bangunan pejabat dan kediaman kakitangan, beberapa khemah untuk Karnival Sains dan Teknologi Peringkat Kebangsaan 2019 yang dijadualkan pada Selasa, turut terjejas.

Sekurang-kurangnya tiga buah kenderaan milik pensyarah juga dikatakan mengalami kerosakan apabila dihempap pokok-pokok yang tumbang.

Operasi JBPM tamat kira-kira jam 10.49 malam.

Sumber: Astro Awani