BANDAR BAHARU 24 Mac - Sepasang kembar yang gemar memasak membuktikan mereka bukan sahaja mempunyai minat yang sama tetapi membuktikan kehebatan apabila menang dalam pertandingan memasak, di sini.

Rosmi Abu Bakar dan kembarnya, Rosma yang berusia 42 tahun muncul pemenang tempat pertama dan kedua dalam Pertandingan Memasak Mee Bandung sempena Karnival Jom Sihat Daerah Bandar Baharu 2019.

Dalam pertandingan anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Pejabat Penerangan Daerah Bandar Baharu, mereka menewaskan 15 peserta lain yang turut menyertai pertandingan itu.

Menurut Urusetia Program, Siti Nor Asikin Haria berkata, pelbagai aktiviti dianjurkan sempena karnival berkenaan yang diadakan di Kolej Komuniti Bandar Baharu.

“Mereka dikehendaki memasak mee bandung dengan menggunakan perencah keluaran syarikat Adabi Sdn. Bhd.,” katanya selepas majlis penyampaian hadiah di sini hari ini.

Hadiah disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Kira-kira 500 orang penduduk tempatan turut tidak melepaskan peluang menghadiri karnival itu bagi menyaksikan pameran dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan pelbagai agensi kerajaan lain. - UTUSAN ONLINE