JERANTUT: Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) mengagihkan 100 pek gulai tempoyak patin kepada Pusat Tahfiz Maahaf Dirasat Diniyyah (MADAD) di Kampung Temin, dekat sini, semalam.

 

Pengarah KKJ, Ismail Samsuddin, berkata masakan itu disediakan empat pelajar kolej berkenaan yang mengusahakan pes gulai tempoyak segera dihasilkan syarikat Bosskoi Resourses.

 

Beliau berkata, usaha dilakukan pelajar ini dihargai pihaknya dan menunjukkan rasa prihatin serta tanggungjawab pelajar terbabit berkongsi rezeki dimiliki dengan golongan memerlukan.

 

“Usaha ini perlu diteruskan kerana ia digalakkan dalam Islam dan boleh dilaksanakan dari semasa ke semasa, bukannya dalam bulan Ramadan saja,” katanya.

 

Sementara itu, Pengurus Bosskoi Resources, Nurhafizah Alumudin berkata, dia bersama tiga rakannya mengambil masa kira-kira dua jam menyiapkan hidangan itu.

 

“Kita gunakan 25 ekor ikan patin segar bagi menyediakan pes ini dan semua proses dilakukan kami empat orang bagi menyiapkan 100 pek untuk diagihkan kepada pihak pengurusan tahfiz berkenaan,” katanya.

 

Pengurus MADAD, Zuridan Mohd Daud, pula berkata, pihaknya sentiasa terbuka menerima sumbangan mana-mana pihak yang ingin bersedekah atau melaksanakan program bersama pusat tahfiz berkenaan.