KOTA BHARU 25 Mei - Seorang pengusaha kuih kapit dan biskut mengajak orang ramai menjayakan projek amal digerakkan olehnya sendiri iaitu mengagihkan biskut raya kepada golongan miskin bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

 

Muhammad Farid Fakhruddin Md. Fauzan merupakan seorang penghidap autisme dan dia baru sahaja menyambut hari lahir yang ke-21, semalam.

Pemuda istimewa itu kini ligat membuat kuih kapit dan biskut untuk diagihkan kepada golongan sasar dengan bermodalkan derma sumbangan orang ramai.

 

Menurut Muhammad Farid Fakhruddin, sehingga kini dia berjaya mengagihkan hamper biskut raya dihasilkannya itu kepada enam buah keluarga miskin menyasarkan sebanyak 14 lagi keluarga dapat merasa juadah air tangannya itu sebelum Ramadan berakhir.

“Saya memang tidak boleh tengok orang susah dan rasa ingin membantu setakat saya mampu.

“Sebelum puasa ibu memberi cadangan kepada saya supaya gunakan kemahiran membuat kuih kapit untuk gembirakan golongan yang memerlukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Siput di sini hari ini.

Muhammad Farid Fakhruddin berkata, dia melancarkan Tabung Hamper Biskut Raya melalui laman Facebook miliknya iaitu Farids Fauzan dan setakat ini sebanyak RM500 telah berjaya dikutip.

“Selain kuih kapit perisa nutella, kacang, coklat dan kapucino, saya juga boleh buat biskut coklat almond dan kuih akok untuk disumbangkan kepada penerima,” katanya.

ROSELINA MOHAMAD MAHIDDIN
ROSELINA MOHAMAD MAHIDDIN 

Sementara itu, ibunya Roselina Mohamad Mahiddin, 54, berkata, selain autisme, anak kedua dari tiga beradik itu turut mengalami masalah Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).

“Minat mendalam terhadap bidang masakan telah menjadi terapi yang membantu anak saya menjadi lebih baik,” katanya.

Roselina berkata, Muhammad Farid Fakhruddin yang mesra dipanggil ‘Abe’ memiliki Sijil Kulinari dari Kolej Komuniti Selayang dan membuat kuih kapit secara suka-suka sejak 2016 sebelum menerima tempahan sehingga ke hari ini.

“Pada bulan biasa selain Ramadan, Abe bekerja di Kafe ‘Forget Me Not’ di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada waktu siang dan membuat kuih kapit serta biskut di rumah pada waktu malam.

“Semua dia lakukan sendiri bermula daripada adunan sehinggalah kepada membakar dan dan mengisi inti. Saya pula membantu anak saya ini dari sudut pemasaran.

 

Roselina memberitahu, sepanjang Ramadan tahun lalu, jualan kuih buatan anak lelakinya itu mencecah RM3,000 manakala purata jualan bagi bulan-bulan lain pula antara RM300 hingga RM600,” katanya.

Orang ramai yang berminat memberi sumbangan bagi menggerakkan projek amal pemuda autisme ini boleh melayari laman Facebook Farids Fauzan atau mengubungi ibunya di talian 0129222152. -UTUSAN ONLINE

Ke Atas