KANGAR: Seramai 48 pelajar Malaysia melakar sejarah apabila berjaya meraih tujuh pingat emas pada Ekspo Rekacipta, Idea dan Penciptaan Jepun (JDIE 2019) di Tokyo, semalam.
Penyelaras Pameran Malaysia, Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, berkata penyelidik muda Malaysia itu mendominasi pingat emas dan perak selepas mengatasi 15 negara dalam pertandingan reka cipta peringkat antarabangsa.

“Ekspo yang berlangsung selama tiga hari bermula 15 Jun lalu, menyaksikan 250 penyertaan dari 15 negara termasuk Taiwan, Poland, Indonesia, Arab Saudi, Thailand, Hong Kong, Kanada, China, Macau, Amerika Syarikat.
“Pelajar Malaysia itu berjaya mengatasi pesaing dari negara maju termasuk tuan rumah hasil pelbagai penciptaan menarik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Mustafa berkata, paling membanggakan kejayaan lapan penyelidik muda Sekolah Menengah Sains (SMS) Tapah, Perak selepas memperoleh dua emas dan satu anugerah khas menerusi ciptaan mereka iaitu NanoCFib.
“NanoCFib adalah bahan alternatif menggantikan gentian fiber dalam menghasilkan sesuatu produk berkaitan kejuruteraan mahupun pembinaan.
“Ia diperbuat daripada mengkuang dan kapok, malah penciptaannya yang menggunakan teknik ‘bagging’ secara tidak langsung menjimatkan masa menghasilkannnya,” katanya.
Beliau berkata, produk itu berjaya menarik perhatian selepas disahkan tidak membahayakan kesihatan kerana menggunakan bahan semula jadi dalam penghasilannya dan bebas penggunaan bahan kimia.
Selain SMS Tapah, turut meraih pingat emas ialah penyelidik muda Politeknik Port Dickson, Kolej Vokasional Keningau, Sabah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Datuk, Johot dan SMK Saujana Utama, Selangor.
Pingat perak turut dimenangi penyelidik muda SMK Datuk Jaafar, Johor.