ARAU, 3 Ogos (Bernama) -- Seramai 2,158 graduan daripada Kolej Komuniti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang menerima sijil dan Diploma sempena Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti 2019 di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Pauh Putra di sini.
Lima puluh empat orang daripada jumlah itu menerima Diploma manakala 2,104 orang menerima sijil dalam pelbagai bidang pengajian pada majlis konvokesyen yang diadakan dua sidang iaitu hari ini dan esok.
Graduan sidang pertama menerima diploma dan sijil daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Dr Mohammad Naim Yaakub manakala sidang kedua disampaikan Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Ir Dr Rezuwan Kamaruddin.
Seramai 38 orang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang, manakala Muhammad Nuur Hafiz Yahaya, 24, dari Kolej Komuniti Sik, Kedah yang merupakan penuntut Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan menerima Anugerah Ketua Pengarah.
Penuntut Sijil Asas Pastri Kolej Komuniti Sungai Petani, Kedah Muhammad Afiq Salleh, 20, pula menerima Anugerah pelajar orang kelainan upaya (OKU).
Muhammad Nuur Hafiz ketika ditemui, berkata adalah menjadi impiannya untuk menjadi pakar dalam bidang amalan halal yang semakin diperlukan industri ketika ini terutama perhotelan.
“Setahun lebih saya bekerja di restoran makanan segera (KFC) dan saya tekad masuk Kolej Komuniti ambil bidang ini kerana nak mendalaminya,” katanya yang kini menyambung pengajian peringkat Diploma dalam bidang Perkhidmatan Makanan (Amalan Halal).

-- BERNAMA