KUALA TERENGGANU: Jika kebiasaannya untuk menghadiri kursus pemasaran dan reka bentuk web menelan kos tinggi sehingga ada yang mencecah ribuan ringgit, pengunjung Karnival Inovasi ICT (KIICT) Terengganu 2019 beruntung kerana dapat menghadirinya secara percuma.

Pelajar Diploma Teknologi Maklumat Politeknik Kuala Terengganu, Lukman Hakim Nazeri, 18, berkata mengikuti kursus reka bentuk web pada karnival itu bagai satu peluang keemasan yang sukar dilepaskan.

 “Saya bercita-cita mahu menjadi pengaturcara komputer, jadi peluang menghadiri kursus reka bentuk web secara percuma di karnival ini tidak saya lepaskan.

 “Walaupun percuma, banyak ilmu yang saya peroleh daripada kursus ini. Sedikit sebanyak saya mendapat lebih banyak maklumat dan ilmu daripada tenaga pakar mengenai reka bentuk web,” katanya ketika ditemui di karnival itu di sini, hari ini.

Karnival bermula jam 10 pagi hingga 10 malam selama tiga hari dan berakhir esok itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya, pertandingan ‘e-sport’ yang menawarkan hadiah lumayan; demonstrasi robotik dan percetakan 3D, ‘Science Challenge’, bengkel teknologi maklumat dan ceramah khas.

 Karnival itu dianjurkan Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri dengan kerjasama Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu serta Terengganu Digital Hub (TD1303) dan setakat ini, sudah merekodkan lebih 3,000 pengunjung.

 Pelajar Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu, Muhammad Razi Haziman, 14, berkata beliau menyertai kursus reka bentuk web di karnival itu untuk meluaskan pengetahuan, selain mahu mengikut jejak bapanya, Haziman Madiah, 41.

 “Bapa bekerja sebagai pensyarah kursus Teknologi Maklumat di Politeknik Kuala Terengganu dan saya juga bercita-cita mahu menjadi sepertinya.

 “Justeru peluang menyertai kursus percuma ini saya manfaatkan untuk menambah ilmu dan ternyata untuk mereka bentuk web bukanlah terlalu sukar, namun tetap ada cabarannya tersendiri,” katanya.

 Peserta kursus ‘Facebook Ads’, Mohd Tahir Ramlan, 23, berkata lazimnya untuk mengikuti kursus sedemikian memakan kos minimum RM700, justeru peluang menyertainya secara percuma tidak dilepaskan terutama dia baru berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian.

 Ketua Pegawai Operasi & Teknologi TD1303, Muhammad Ezree Esmadee, berkata pihaknya menyediakan 30 tempat untuk kursus reka bentuk web dan 70 tempat untuk peserta ‘Facebook Ads’ secara percuma.

 “Alhamdulillah, kita lihat untuk kursus reka bentuk web, majoriti yang menyertai adalah pelajar, manakala kursus FB Ads banyak disertai peniaga dan golongan muda yang mahu berjinak-jinak dengan perniagaan atas talian,” katanya.