MIRI: Kolej Komuniti menyediakan pendidikan berkualiti, berteknologi tinggi dan holistik yang melahirkan generasi tenaga mahir untuk keperluan industri.
Ahli Dewan Negara Senator Alan Ling berkata, peranan institusi pengajian tinggi itu selaras dengan permintaan kerajaan untuk melahirkan graduan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdepan cabaran Revolusi Industri 4.0..

“Salah satu ciri Kolej Komuniti ialah penglibatan komuniti khususnya dalam pembelajaran sepanjang hayat untuk mewujudkan komuniti berpengetahuan.
“Di samping itu, Kolej Komuniti juga giat dalam penganjuran latihan peningkatan kemahiran, latihan permantapan kemahiran untuk keperluan tenaga kerja setempat,” jelas beliau.

Kolej Komuniti menyediakan latihan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional termasuk bidang perdagangan, mekanikal, elektrikal dan bidang-bidang lain untuk pelajar.
Beliau menambah, kursus yang ditawarkan adalah mengikut keperluan pasaran dan penduduk setempat.
Selain Miri, cawangan lain Kolej Komuniti di Sarawak adalah di Kuching, Mas Gading Bau, Betong, Santubong dan Sarikei.
Sehingga kini terdapat 103 Kolej Komuniti di seluruh negara yang menawarkan pengajian peringkat sijil dan diploma serta kursus jangka pendek.

Sementara itu, Alan menerima kunjungan hormat daripada rombongan Kolej Komuniti Miri diketuai Pengarahnya Hazzatta Morshidi di pejabat beliau, baru-baru ini.
Alan diberi taklimat tentang pengajian, pencapaian dan rancangan masa depan Kolej Komuniti Miri pada kunjungan itu.
Mereka yang ingin mendapat maklumat lanjut tentang Kolej Komuniti Miri boleh menghubungi talian 085-653545 atau melawat premis kolej di Lot 5600, Jalan Permyjaya.