SEMALAM Program berbasikal ‘Mousang Ride @ Kolej Komuniti bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail 2020’ menerima keberangkatan istimewa apabila Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut berkenan menyertainya .

Program tersebut dianjurkan oleh Kolej Komuniti Raub Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK)  dan Pejabat Daerah Raub.

Kayuhan sejauh 18 kilometer itu bermula dan berakhir di pekarangan Kolej Komuniti Raub yang terletak di Taman Amalina Lestari.

Para peserta seramai 100 orang dalam kalangan ahli Kelab Berbasikal TTG Perlis (Cawangan Kuala Lumpur) seramai 35 orang dan selebihnya dari Pahang turut singgah di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah Bukit Koman bagi beramah mesra dengan para pegawai dan anggota pasukan berkenaan serta Perkampungan Ibadah Warga Emas Islam Raub dan juga Maahad Tahfiz Riadus Solihin, Taman Shahbandar untuk menyantuni dan menyampaikan sumbangan ikhkas kepada para penghuni di situ.

Menyambut keberangkatan tetamu diraja dari kedua-dua negeri berkenaan ialah Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Mohammad Naim Yaakub, Pegawai Daerah Raub, Datuk Muhammad Shahid Ismail dan Pengarah Kolej Komuniti Raub, Mohammad Azwan Ja’afar.

Berangkat sama di majlis sambutan selepas kayuhan itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.