BANDAR ENSTEK, 19 Feb (Malaysiaaktif) – “Tanpa Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi terkini yang banyak mengubah cara hidup kita seperti automobil, internet, telefon pintar dan elektrik, tidak mungkin wujud.

"Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) melalui Politeknik sentiasa komited untuk konsisten dalam mendukung agenda Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memperkasa komponen STEM melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025," ujar Timbalan Ketua Pengarah JPPKK (Strategik), Amin Hamat.

Tambah Amin lagi, karnival ini juga menggabungkan STEM dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pendekatan pendidikan baharu yang sedang diterokai oleh negara-negara di seluruh dunia bagi membangunkan para pelajar yang akan dilengkapi dengan kemahiran berkaitan industri yang diperlukan untuk pasaran kerja pada masa hadapan.

“Antara objektif karnival ini adalah untuk menarik minat dan mempromosi STEM dalam kalangan pelajar sekolah, politeknik dan komuniti setempat bagi menyokong pemerkasaan STEM ke arah Revolusi Industri 4.0 yang menyokong dasar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam membudayakan pendidikan STEM,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penutup Karnival STEM@PNS 2020 di Politeknik Nilai, di sini baru-baru ini.

Karnival STEM tersebut merupakan karnival yang julung kali diadakan berteraskan kepada pendidikan STEM yang melibatkan aktiviti berbentuk pertandingan, bengkel dan pameran oleh Planetarium Negara dan Pusat Sains Negara.

Dalam pada itu, Politeknik Nilai turut menandatangani sijil kolaborasi (CoC) bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPN) dalam usaha merealisasikan peluang bagi meningkatkan kemahiran, ilmu pengetahuan dan pengalaman serta mencipta jaringan yang lebih luas untuk kepentingan bersama.

Turut diadakan slot Bicara Angkasa bersama Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor.