Pengarahnya Tajul Ariffin Mohamed Arif berkata, warga PSS terpanggil sama untuk memberi sumbangan pelindung muka sebagai memberi suntikan semangat kepada kakitangan kesihatan yang bertugas menentang wabak COVID-19.

Katanya, pelindung muka itu dihasilkan secara kerjasama oleh lima pensyarah dan 30 pelajar yang berada di kampus.

"Buat masa ini, langkah pertama kami adalah memberi sumbangan pelindung muka di HDOK Sandakan.

"Kami mula terfikir untuk menghasilkan pelindung muka ini kerana terasa amat terhutang budi dengan jasa dan pengorbanan mereka yang sanggup berdepan dengan risiko dan tinggalkan ahli keluarga demi berjuang menyelamatkan pesakit COVID-19 ini.

"Sekiranya bahan material mencukupi, kami bercadang untuk memperluas lagi pemberian sumbangan ini kepada petugas barisan hadapan yang lain seperti polis, tentera, anggota pertahanan awam dan sebagainya," katanya.

Terdahulu beliau bersama Timbalan Pengarah Akademik PSS Zardy Abd Rahman telah menyerahkan sumbangan itu kepada Pengarah HDOK Sandakan Dr. Francis Paul.

Tajul berkata, PSS juga sangat komited dan bersedia untuk memberikan bantuan bagi fasa seterusnya agar bekalan pelindung muka itu mencukupi.

Sementara itu, Dr. Francis berkata pihaknya amat menghargai pelbagai bentuk sumbangan yang telah disalurkan oleh PSS dan juga orang ramai, badan kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Katanya, pelindung muka adalah antara peralatan perlindungan peribadi (PPE) yang digunakan semasa pemeriksaan dan melakukan prosedur.

Jelasnya, kegunaan PPE termasuk pelindung muka adalah sangat tinggi di hospital kerana pada dasarnya penggunaan peralatan itu adalah pakai buang.

"Kita hanya guna sekali kerana kita tidak mahu berlaku jangkitan kuman. Seperti pelindung muka, apabila digunakan ketika buat prosedur, ia dapat melindungi kakitangan kesihatan sekiranya pesakit tiba-tiba batuk atau bersin.

"Selain pelindung muka, ada banyak lagi keperluan PPE. Dalam sehari kita guna sampai mencecah 100 PPE. Oleh itu, sumbangan yang diterima selalunya boleh digunakan dalam beberapa hari sahaja.

"Sebab itu kami sangat menghargai semua sumbangan. Kami terharu dengan penglibatan, sumbangan dan komitmen daripada pelbagai pihak. Orang Sandakan sangat baik hati. Malah, kami juga terima sumbangan dari seluruh negara," jelasnya.

Mengulas lanjut, Dr. Francis berkata Kementerian Kesihatan Malaysia sedia memberi peruntukan bagi menambah stok peralatan termasuk PPE.

Namun, dalam masa yang sama, KKM mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak untuk sama-sama membantu dan melawan wabak COVID-19.