SERAMAI 98 penuntut Politeknik Port Dickson (PD) yang menyewa rumah di luar kampus akan disalurkan bantuan barangan makanan harian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) MyKasihCare Syed Shukri Nizam Jaafar berkata, ia adalah projek khas Covid-19 MyKasihCare khusus untuk penuntut.

“MyKasihCare menyerahkan sumbangan bekalan makanan asas kepada Jabatan Hal Ehwal Politeknik Port Dickson di Politeknik PD.

“Selain MyKasihCare, turut bersama menyerahkan sumbangan ialah Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang Mohd Faizal Ramli yang turut juga menyumbangkan 50 kampit beras kepada Politeknik PD untuk meringankan beban penuntut yang terkandas di rumah sewa masing-masing,” katanya.

Menurutnya, MyKasihCare turut menyerahkan sumbangan barangan asas kepada pelajar Kolej Vokasional Port Dickson di Taman Selasih kerana tidak sempat balik ke kampung.

“Terima kasih kepada semua penyumbang yang menyokong usaha projek kami dan berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan pada akan datang.

“Usaha ini akan dilakukan berterusan kerana masih ramai lagi yang terjejas akibat PKP dan tumpuan kami bukan sahaja pelajar atau penuntut tetapi juga keluarga yang bermasalah,” katanya.