SHAH ALAM: Kumpulan pelajar dari Zon Tengah 1 yang akan pulang ke pangkuan keluarga di Zon Utara teruja apabila menjadi kumpulan pertama pulang pada malam ini, selepas terkandas di kampus masing-masing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Semua pelajar daripada pelbagai kolej di sini akan menaiki bas dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alam (PSA) ke destinasi masing-masing.

Tinjauan kira-kira jam 2 petang di PSA yangdiberikan tanggungjawab menguruskan penghantaran mereka, mendapati rata-rata pelajar sedang mengemaskan pakaian dan barang peribadi untuk dibawa pulang.

Pelajar Politeknik METrO Kuala Lumpur (PMKL), Jespreet Kaur Daljit Singh, 21, melahirkan kesyukuran kerana tidak semua berpeluang pulang pada malam ini.

"Terima kasih kepada semua pihak yang membantu menguruskan penghantaran pulang. Kami rasa bertuah menjadi kumpulan pertama yang dibenarkan pulang.

"Kami bersyukur kerana tidak semua bernasib baik seperti kami, ada rakan beragama Islam berada di zon merah tidak dapat pulang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jaspreet adalah pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Peruncitan yang akan dihantar ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim).

Eka Nabilah Balqis Agus Irawan, 21, yang juga pelajar dari PMKL, pernah menangis kerana membayangkan terpaksa menyambut Aidilfitri di sini tanpa keluarga tersayang.

"Pengumuman Perdana Menteri mengubat kesedihan saya, ibu ayah pun tonton pada malam itu, perasaan saya sekarang terharu dan gembira bercampur-aduk," kata pelajar tahun tiga Diploma Pengurusan Hotel yang akan dihantar ke IPD Seberang Prai Tengah itu.

Pelajar Diploma Mekanikal (Pembungkusan), PSA, Chia Vienna, 20, yang berasal dari Alor Setar pula tidak sabar menaiki bas malam ini untuk bertemu ibu bapa dan adik-beradik yang kali terakhir ditemui Februari lalu.

"Sepanjang PKP, saya rasa sedih, sunyi dan rindu sangat setiap malam pada keluarga, malah harap sangat PKP berakhir," kata pelajar tahun dua yang akan dihantar ke IPD Kota Setar itu.

Seorang lagi pelajar PSA, Ooi Yik Tee, 20, berkata ibu bapanya teruja dan seronok mendengar dia akan pulang malam ini.

"Mereka cakap, bagus dihantar oleh kerajaan, menjimatkan duit dan saya sendiri gembira dapat balik, jika tidak saya sedih dan bosan," kata pelajar tahun dua Diploma Kejuruteraan Elektronik Kawalan yang akan pulang ke Pulau Pinang itu.

Pelajar Kolej Komuniti Selayang (KKS), Uwais Qarni Mohd Idris, 23, setiap hari membuat panggilan video dengan ibu bapanya memandang dia tinggal seorang diri di rumah sewa sepanjang PKP.

"Ayah saya juga sanggup berusaha ke balai polis memohon kebenaran mengambil saya di sini tetapi tidak dapat kelulusan, namun peluang pulang malam ini menggembirakan mereka," katanya.

Rakan sekelasnya, R Sarubbaneshan, 21, berkata sebagai anak bongsu, dia menjadi kesayangan ibu bapa yang tidak sabar menunggunya pulang.

"Apabila tahu mahu balik mereka seronok dan tak sabar menunggu saya," kata pelajar tahun dua Diploma Games Art itu.

Uwais Qarni dan Sarubbaneshan akan bertolak ke UA awam yang dijadualkan untuk pulang kampung halaman mereka di Pulau Pinang.