KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 politeknik menerima pengiktirafan akreditasi daripada Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata akreditasi itu adalah pengiktirafan yang diberi berdasarkan tujuh kriteria perlu dipenuhi dan dicapai institusi.

Kriteria itu ialah tadbir urus dan pengurusan; pengajaran dan pembelajaran; sumber manusia; penyelidikan dan pembangunan; imej dan kelestarian; sumber pendidikan serta khidmat sokongan pelajar.

"Lebih membanggakan, sembilan politeknik menduduki kedudukan 10 terbaik tangga teratas daripada 26 institusi negara anggota yang memperoleh Anugerah Emas.

"Pengiktirafan antarabangsa APACC ini membuktikan Politeknik Malaysia mampu berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.

"Ia juga penanda aras kecemerlangan institusi aliran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di rantau Asia Pasifik daripada aspek kualiti, kebertanggungjawaban dan kepercayaan awam terhadap politeknik," katanya dalam kenyataan di sini, semalam.


APACC adalah badan akreditasi di bawah Colombo Plan Staff College (CPSC), dianggotai 17 negara rantai Asia Pasifik, berpangkalan di Manila, Filipina selepas ditubuhkan di Seoul, Korea Selatan, pada Disember 2004.

Noraini berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan Malaysia memiliki kelompok institusi berkualiti tinggi dan ia menyaksikan usaha mengarusperdanakan aliran TVET.

"Ini adalah usaha terbaik bagi memastikan politeknik memiliki kelompok bakat berkemahiran tinggi.

"Prinsip asas inisiatif akreditasi dan persijilan APACC adalah mengharmoni kualiti pendidikan TVET, mewujudkan standard setara dalam kemahiran diajar di institusi TVET, disamping memudah cara mobiliti pekerja di rantau Asia Pasifik.

"Akreditasi APACC adalah selaras dengan kewujudan Komuniti Ekonomi ASEAN 2015 meliberalisasi pasaran serantau ASEAN. Penganugerahan ini adalah akreditasi tunggal khusus untuk institusi TVET di rantau Asia Pasifik," katanya.

INFO: 10 Politeknik diiktiraf APACC

1. Politeknik Ibrahim Sultan (PIS)

2. Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS)

3. Politeknik Ungku Omar (PUO)

4. Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA)

5. Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS)

6. Politeknik Kota Bharu (PKB)

7. Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS)

8. Politeknik Seberang Perai (PSP)

9. Politeknik Kuching Sarawak (PKS)

10. Politeknik Port Dickson (PPD)

SUMBER : BERITA HARIAN