"IBU baru sahaja meninggal dunia minggu lalu akibat sakit jantung. Ayah pula terpaksa bekerja dan tidak dapat menghantar saya untuk pendaftaran pelajar," ujar penuntut, Wong Jit Keong, 18, yang ditemui pada Majlis Pendaftaran Pelajar Baru di Politeknik Port Dickson (PPD) Negeri Sembilan tadi.

Menurutnya, dia hampir membatalkan hasrat meneruskan pelajaran selepas ibunya meninggal dunia minggu lalu.

"Sebagai anak tunggal, kehilangannya amat dirasai kerana dia banyak memberi galakan untuk saya belajar.

"Sebaik menerima tawaran mendaftar di sini, hanya ayah tempat saya mendapatkan nasihat. Ayah berkeras supaya saya mendaftar diri mengikut pengajian dalam bidang Mekanikal di Politeknik Port Dickson," kata bekas pelajar Sekolah Tinggi Port Dickson itu.

Wong berkata, ayahnya, Wong Tong Seng, 55, bekerja di kedai barangan binaan dan tidak dapat datang membantu pendaftarannya tadi.

"Ayah perlu bekerja demi mencari belanja dan menampung pengajian saya di sini. Pengorbanan ayah terlalu tinggi nilainya.

"Hanya kakak sepupu dan mak saudara yang membantu menghantar saya ketika pendaftaran. Kehadiran mereka kesedihan serta memberi sokongan moral," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik, Abdul Rahim Ibrahim berkata, pendaftaran penuntut Politeknik Port Dickson semalam, berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, jumlah pendaftaran membabitkan pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik dan Perdagangan dikurangkan berbanding 1,300 pelajar bagi setiap sesi pendaftaran pelajar baharu sebelum ini.

Tambahnya, mengikut kebiasaan PPD juga akan mengadakan pertemuan bersama pelajar baharu dan ibu bapa serta kakitangan PPD bagi setiap minggu kemasukan pelajar baharu tetapi kali ini ia hanya diadakan secara dalam talian.

"Di peringkat PPD kami sudah atur semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti.

"Dari segi pendekatan kebiasaan baharu ini memang agak ketat dan kita ikut apa yang ditetapkan iaitu sentiasa menjaga penjarakan fizikal dan jumlah bilangan pelajar yang ada di dalam dewan pada satu-satu masa juga perlu dipatuhi," katanya.

Sumber : Harian Metro