PUTRAJAYA: Seramai 20,000 usahawan pelajar daripada universiti awam, politeknik dan kolej komuniti disasarkan menerima pembiayaan mikro kredit melalui peruntukan berjumlah RM20 juta menerusi pelaksanaan Program KPT-MEDAC Siswapreneur.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, program berkenaan akan memberi peluang kepada usahawan pelajar memulakan dan mengembangkan perniagaan ketika dalam tempoh pengajian.

"Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini antara kedua-dua kementerian adalah satu lagi langkah strategik KPT mempermudah golongan usahawan pelajar mendapatkan pembiayaan mikro kredit melalui TEKUN Nasional.

"Sebagai permulaan, Program KPT-MEDAC Siswapreneur akan dilaksanakan secara rintis di 15 institusi pendidikan tinggi (IPT) terpilih merangkumi empat universiti dan 11 politeknik serta kolej komuniti untuk tempoh enam bulan pertama sebelum diperluaskan kepada IPT lain," katanya kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, pusat atau unit keusahawanan IPT akan membuat saringan ke atas permohonan pembiayaan daripada usahawan pelajar yang berpotensi sebelum dikemukakan kepada TEKUN Nasional untuk kelulusan. - BERNAMA