KUALA LUMPUR, 6 Jan -- Kementerian Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan pelantikan Zainab Ahmad sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang baharu, berkuat kuasa semalam (5 Jan).

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pelantikan itu menjadikan Zainab, 58, wanita pertama menjawat jawatan berkenaan.

Menurutnya, Zainab sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) di JPPKK dan menjadi pengarah pertama Kolej Komuniti Hulu Langat, selain pernah berkhidmat sebagai Pengarah Bahagian Dasar dan Pembangunan Ko-Kurikulum JPPKK.

"Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, dan kemudiannya bertugas sebagai Pengarah Kanan (Akademik) di JPPKK setelah dinaikkan pangkat dan penggabungan bersama Pendidikan Politeknik.

"Saya yakin dengan pengalaman luas beliau dalam bidang pentadbiran, khususnya di JPPKK, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pencapaian dan sumbangannya dalam mengekalkan kegemilangan JPPKK sebagai peneraju komuniti berilmu dan berkemahiran dalam negara dan antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainab berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Kejuruteraan Elektrik Kuasa) daripada Universiti Putra Malaysia pada 2002 dan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Kejuruteraan Elektronik dan Elektrikal) daripada Loughborough University, United Kingdom (1985).

Beliau pernah menjadi wakil Malaysia di World Education Forum and Malaysia TVET Study to UK, British High Commission, London dan Scotland, United Kingdom pada 2018, serta merupakan Ahli Majlis Akreditasi Kejuruteraan Teknologi, Lembaga Jurutera Malaysia dan Teknologis Profesional, Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

-- BERNAMA