PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi meletak sasaran penyertaan 80 pelajar bagi program penempatan jurutera dan latihan prasiswazah dalam industri kayu-kayan pihaknya.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata program itu mampu membantu industri kayu-kayan memperoleh khidmat jurutera daripada graduan universiti tempatan.

Selain itu, katanya, ia dapat memberi pendedahan awal mengenai peluang pekerjaan dalam sektor berkenaan.

"Industri perkayuan adalah subsektor komoditi ketiga terbesar selepas sawit dan getah dengan prestasi eksport tahun lalu bernilai RM22.1 bilion.

"Program ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing, sekali gus mampu menjana peluang pekerjaan baharu dan mengekalkan sektor penting negara yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Graduan program ini turut diberi elaun RM2,000 sebulan dan semua kos latihan ditanggung sepenuhnya oleh Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MPC).

"Buat masa ini pengambilan hanya 80 orang dan program dijangka bermula bulan depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran program penempatan jurutera dan latihan prasiswazah dalam industri kayu-kayan dan majlis MoU antara MTC, Persatuan Kayu-Kayan dan institut pengajian tinggi serta politeknik di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

Antara institusi pengajian tinggi yang menandatangani MoU berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Universiti lain ialah Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).