PERMATANG PAUH: Hampir tiga juta peserta telah mengikuti lebih 141,000 kursus menerusi program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di Kolej Komuniti seluruh negara sejak 2002 hingga hujung tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 118,455 penyertaan diterima sepanjang tahun lalu melibatkan keseluruhan 7,154 kursus.

Golongan belia merupakan antara peserta tertinggi iaitu seramai 47,590 orang diikuti golongan miskin tegar (20,375); warga emas (2,711); ibu tunggal (1,583) serta masing-masing sebanyak 1,289 dan 382 untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta Orang Asli.

Menurut Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman, tahap kebolehpasaran graduan Kolej Komuniti ketika ini juga tinggi sama seperti politeknik sehingga ada yang mencapai tahap 100 peratus.

“Setiap kolej komuniti di seluruh negara ada kepakaran masing-masing dan hampir semua kursus jangka pendek yang ditawarkan memenuhi keperluan semasa.

“Jadi, saya amat berharap masyarakat mengambil peluang ini kerana beberapa kursus berkaitan keagamaan turut ditawarkan di beberapa kolej komuniti terpilih ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Keusahawanan dan Pembudayaan Komuniti Inovatif (KPKI) di Kolej Komuniti Seberang Jaya, di sini hari ini.

Selain bertujuan membudayakan perkongsian ilmu dan teknologi setempat serta menjana pendapatan sampingan, program itu juga membolehkan komuniti setempat dilatih menghasilkan produk cenderamata ukiran laser bagi dijadikan sebagai salah satu cabang bidang keusahawanan baharu.

Dalam pada itu Mansor memberitahu, program berunsurkan keagamaan di bawah Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) telah diperkenalkan sejak 2014 dan sehingga penghujung tahun lepas, seramai 181,723 penyertaan telah diterima dengan bilangan kursus sebanyak 6,996.

Katanya, sepanjang tahun lepas sahaja sebanyak 10,846 peserta telah mengikuti 612 kursus berkaitan yang ditawarkan di bawah PISH.

“Sebelum ini, kebanyakan program yang ditawarkan tidak disebarkan secara meluas, jadi ramai yang tidak tahu mengenai kewujudannya,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE