KEMAHIRAN sering dianggap perkara biasa, tetapi hakikatnya ia mampu membawa seseorang itu pergi jauh dalam bidang yang diceburi.

Justeru, setinggi manapun ilmu seseorang itu, jika ia tidak seiring dengan kemahiran, ia pasti akan sia-sia.

Itu kata-kata yang sentiasa dipegang alumni Kolej Komuniti Kuala Pilah dalam bidang Sijil Teknologi Peranti Mudah Alih, Kamal Danial Mohd Isa, 21.

Menurutnya, walaupun ramai menganggap kemahiran itu perkara biasa, namun baginya, kemahiran itu sangat tinggi nilainya.

"Walaupun hanya mengambil sijil, namun kemahiran yang ada membolehkan saya memulakan kerja sebagai juruteknik membaiki telefon tanpa sebarang masalah.
"Bukan itu saja, dengan kemahiran, seseorang itu juga mampu untuk menceburi pelbagai bidang baharu," katanya.

Menurut Kamal Danial, kemahiran juga penting terutama dalam keadaan mencabar ini kerana kebanyakan majikan akan melihat kemahiran yang dimiliki bakal pekerjanya.

"Dalam keadaan sekarang, segala-galanya bergerak pantas. Sesuatu kerja itu perlu dilaksanakan dengan cepat dan sempurna.

"Jadi, bila kita ada kemahiran dalam jawatan yang ditawarkan, syarikat tidak perlu bersusah payah untuk memberi latihan asas sekali gus memudahkan mereka.

"Apa tugasan yang diberi, kita mampu melaksanakan dengan baik," katanya yang sering menerima penghargaan diatas prestasi membanggakan walaupun belum sampai dua tahun bekerja.

Berkongsi mengenai keputusan memilih bidang kemahiran berbanding akademik untuk melanjutkan pengajian, kata Kamal Danial minat adalah kunci utamanya.

Menurutnya, dengan minat segala apa yang diinginkan boleh dilakukan dengan berjaya.

"Sejak di bangku sekolah, saya minat mengenai teknologi terutama membaiki telefon pintar ataupun gajet.

"Berbekalkan minat, walaupun terpaksa belajar jauh daripada keluarga, saya nekad untuk mempelajari seberapa banyak ilmu dalam bidang Teknologi Peranti Mudah Alih.

"Minat dalam bidang ini juga boleh dikatakan penyelamat saya ketika berasa tertekan mengikuti beberapa subjek yang susah ketika belajar," katanya.

Kamal Danial berkata, sepanjang tempoh pengajian selama dua tahun di satu-satunya kolej yang menawarkan kursus berkaitan telefon pintar, antara subjek yang dipelajari termasuk teknologi telekomunikasi, baik pulih telefon pintar, reka bentuk aplikasi, keselamatan teknologi, Wi-Fi, pengaturcaraan komputer, robotik dan banyak lagi.

Peluang kerjaya yang tersedia juga sangat meluas antaranya juruteknik telefon pintar, usahawan telefon pintar, rekaan dan pembangunan aplikasi telefon pintar dan banyak lagi.

"Pembelajaran dalam bidang kemahiran ini juga cukup menarik kerana 70 peratus adalah praktikal manakala pensyarahnya juga adalah pakar serta berpengalaman dalam bidang masing-masing.

"Selain itu, membudayakan usahawan turut diterapkan, sekali gus membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk menjadi usahawan satu hari nanti," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, anak muda ini merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang yang sama ataupun bidang perniagaan.

"Selain bekerja, saya juga dalam proses menimba ilmu menerusi pengalaman membaiki pelbagai masalah berkaitan telefon pintar daripada jenama berbeza.

"Saya juga sentiasa mencari ilmu tambahan dengan merujuk kepada senior di tempat kerja atau pembelajaran di internet untuk memantapkan lagi kemahiran," katanya.

Menjadikan majikannya sebagai idola, menurut Kamal Danial, kalau benar-benar seseorang itu ada kemahiran, kemahiran yang dimiliki itu boleh membawanya seseorang itu ke tahap yang lebih tinggi dalam kerjayanya termasuk membuka perniagaan sendiri.

"Bos saya belajar sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saja, tetapi dengan berbekalkan kemahiran yang ada dia mula membina perniagaan dan kini mempunyai empat cawangan membaiki telefon pintar.

"Kalau ia boleh berjaya, Insya-Allah satu hari nanti saya juga boleh berjaya membuka perniagaan sendiri," katanya.

Pada masa sama, Kamal Danial turut menasihati rakan-rakannya terutama yang mencari peluang belajar untuk memilih bidang yang diminati.

"Tidak kira bidang akademik ataupun kemahiran, pilih mengikut apa yang kalian minat.

"Tanpa minat, segala pekerjaan yang dibuat setiap hari bagaikan tidak bermakna kerana keikhlasan itu tidak ada," katanya.

Disiarkan pada: Mei 10, 2021 @ 7:00am