BIDANG Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) nyata satu bidang yang mempunyai pelbagai kelebihan dan prospek pekerjaan.

Justeru, Politeknik Merlimau (PMM) menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM) menjayakan program Facebook (FB) Live yang disiarkan secara langsung menerusi FB Page PMM sekali gus dapat memupuk minat dalam kalangan penonton bagi melanjutkan pelajaran ke bidang TVET, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Mekanikal PMM, Azlan Shah Kamarudin berkata, program bertajuk Jom Terokai Bidang Mekanikal itu membincangkan kelebihan dan prospek pekerjaan bagi bidang terbabit dan memberi gambaran terbaik mengenai bidang kejuruteraan.

"Kejuruteraan Mekanikal di PMM menawarkan tiga program diploma untuk memenuhi keperluan industri negara. Ia membabitkan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (DKM), Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembuatan) (DTP) dan Diploma Kejuruteraan Mekatronik (DEM).

"Malah, ketika hari pendaftaran pelajar baharu pada Mac lalu, PMM menerima 560 pelajar dalam bidang mekanikal dan sehingga ke hari ini PMM juga sudah melahirkan 3,000 graduan dalam bidang mekanikal," katanya.

Azkan Shah berkata, tenaga pengajar bidang ini juga terdiri daripada pensyarah utama, pensyarah kanan serta staf pentadbiran yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai lebih 50 orang.

"Menjadi kelebihan apabila memilih bidang ini kerana kemudahan pembelajaran dalam bidang mekanikal ini lengkap dari sudut fasiliti dan silibus terkini daripada pihak industri," katanya selepas FB Live siri ke-23 itu.

Menariknya, program secara live streaming itu turut membawa penonton ke bengkel mesin kejuruteraan mekanikal yang diketuai Pensyarah Utama JKM, Raman Ibrahim.

Menurut Raman, bengkel terbabit digunakan untuk mengajar cara-cara mengendalikan mesin yang akan digunakan pelajar selepas graduan.

"Di sini pelajar juga akan mempelajari adab, cara menjaga kebersihan peralatan, keselamatan ketika mengendali mesin dan menyediakan diri mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan sebenar.

"Saya berharap pelajar yang mendapat peluang melanjutkan pengajian di PMM dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin kerana program TVET yang ditawarkan

PMM lengkap dari sudut 'hands on' dan kemahiran," katanya.

Sementara itu, Pegawai JHEP Azrina Mohamad Sabiri pula berkata, bakal pelajar tidak perlu risau mengenai aspek lemah dalam bidang Sains atau Matematik.

"Ini kerana PMM mempunyai pakar dalam bidang ini yang dapat membimbing dan mengajar pelajar dengan lebih efisien serta sistematik seterusnya memberi pengalaman terbaik kepada mereka," katanya.

Program FB Live itu berlangsung di laman Facebook page PMM selama hampir dua jam yang dikemudi Pegawai Perhubungan Awam Rozer Masudin selaku moderator dan menampilkan enam ahli panel iaitu Azlah Shah, Azrina, Ketua Program JKM Gadaffi Omar, Ketua Program JKM Khadijah Mohd Zainuddin, Ketua Program JKM Rozaiman Suffian Othman dan Raman.

Disiarkan pada: Mei 17, 2021 @ 6:30am