Page 26 - PSPKK 2018-2025
P. 26
PELAN STRATEGIK POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI (2018-2025)
TVET telah dikenal pasti sebagai pemacu perubahan bagi menghasilkan modal insan berkemahiran dan penjana
pertumbuhan ekonomi negara sebagai kesinambungan Rancangan Malaysia sebelumnya. Dengan arus perdana
aliran TVET, akses kepada program TVET berkualiti perlu diperluas. Dalam RMKe-11, 60 % pekerjaan daripada 1.5
juta pekerjaan baharu memerlukan kelayakan TVET.
Penggabungan politeknik dan kolej komuniti menghangatkan lagi landskap TVET di KPT. Sehingga tahun 2017,
terdapat 36 Politeknik dan 94 Kolej Komuniti masa kini dan kedua-duanya membekalkan 64% daripada tenaga
kerja TVET negara. Justeru, amat penting bagi politeknik dan kolej komuniti untuk kekal relevan sebagai
pembekal tenaga kerja TVET yang disegani.
Visi dan misi yang baharu digabungkan ini merupakan suatu tekad dan iltizam untuk melaksanakan
tanggungjawab memberi akses pendidikan dan latihan yang berkualiti kepada pelajar lepasan menengah dan
komuniti amnya.
Politeknik dan kolej komuniti perlu unggul dalam mengharungi cabaran perubahan teknologi, perkembangan
revolusi perindustrian 4.0, landskap pekerjaan untuk menawarkan gaya pembelajaran generasi masa kini.
Kedua-dua institusi perlu membentuk komuniti pelajar yang mendahagakan ilmu dan sentiasa bersedia untuk
memperoleh kemahiran dan pengetahuan baharu dalam alam pekerjaan. Pembentukan budaya pembelajaran
sepanjang hayat juga akan mengekalkan minat dan menyemai bakat komuniti pelajar untuk kehidupan yang
lebih bermakna.
Usaha untuk memastikan penawaran program TVET dipadankan dengan permintaan dan mendapat sokongan
kuat daripada industri agar kerelevanan dan keberkesanan institusi TVET terus unggul serta dapat mendorong
pelajar dan ibu bapa untuk memilih politeknik dan kolej komuniti sebagai institusi pengajian pertama. Melalui
perancangan yang sistematik, politeknik dan kolej komuniti dijangka dapat menghasilkan tenaga kerja
berkemahiran tinggi yang diperlukan negara bagi mencapai status negara maju.
Di samping itu, perkongsian pintar dengan pihak-pihak berkepentingan seperti syarikat, industri, badan
profesional, dan agensi pusat perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh politeknik dan kolej komuniti bagi
menyokong proses pengkomersilan idea melalui pemindahan teknologi dan perkongsian infrastruktur.
17