Page 79 - PSPKK 2018-2025
P. 79
PELAN STRATEGIK POLITEKNIK DAN KOLEJ KOMUNITI (2018-2025)
FAKTOR PENENTU KEJAYAAN
Elemen penentu kejayaan merupakan prasyarat dalam menentukan kejayaan pelaksanaan strategik, inisiatif
dan program. Komponen utama yang dikenal pasti sebagai penyumbang kepada kejayaan pelaksanaan
perancangan Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti ini adalah seperti berikut:
Komitmen Pengurusan Atasan
Pengurusan atasan JPPKK memberikan perhatian yang serius serta menunjukkan komitmen yang tinggi bagi
menjayakan perancangan strategik ini. Kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh pengurusan
atasan memberi petunjuk bahawa pencapaian matlamat perancangan strategik adalah penting dan ini perlu
difahami oleh semua peringkat staf keseluruhannya. Penjajaran strategik yang betul dan jelas akan memberi
kesan kepada kesempurnaan pelaksanaan.
Modal Insan Yang Kompeten
Politeknik dan Kolej Komuniti perlu diterajui oleh pemimpin yang cemerlang dari segi
kemahiran kritikal kepimpinan terutama kemahiran berwawasan, kemahiran kepimpinan, kemahiran
pengurusan, kemahiran penyelidikan dan inovasi; dan kemahiran keantarabangsaan. Pembangunan modal
insan akademik, semua kategori dan gred PPPT yang perlu dilaksanakan sepanjang tempoh kerjaya
bertujuan memperkasa semua PPPT ke arah menjadi seorang yang profesional dalam melatih tenaga kerja
separa profesional yang kompeten dan berdaya saing. Oleh itu, satu kaedah sistematik telah diwujudkan
bagi mengenal pasti tahap kemahiran kepimpinan peneraju institusi dan jabatan, menilai dan
membangunkan keupayaan pegawai berprestasi tinggi bagi memenuhi keperluan organisasi pada masa kini
dan akan datang.
Penetapan Sasaran Kerja Utama (SKU)
Setiap objektif strategik yang dikenal pasti mengikut perspektif ditetapkan harus mempunyai pengukuran
dan petunjuk prestasi. Penetapan SKU JPPKK, politeknik dan kolej komuniti akan disemak setiap tahun
dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dan perubahan dasar-dasar baharu kerajaan. JPPKK
sentiasa berusaha dan komited dalam memastikan bahawa SKU yang ditetapkan dapat dicapai melalui
pelbagai strategi yang digarap. Ia antara langkah proaktif JPPKK, politeknik dan kolej komuniti dalam
memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan sebagai penyedia TVET dalam melahirkan tenaga
kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi demi mencapai status negara maju
menjelang tahun 2020.
68